KPKM tak pernah keluar arahan, keputusan turunkan harga belian padi
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menafikan ada mengeluarkan sebarang arahan atau keputusan berhubung penurunan harga belian padi sehingga kini.
Kementerian itu dalam satu kenyataan sebentar tadi turut menafikan dakwaan dikeluarkan Pengerusi Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH) bahawa wakil kementerian mengarahkan agar belian padi diturunkan kepada RM1,300 per tan metrik.
“KPKM ingin menegaskan bahawa tiada sebarang arahan atau keputusan berhubung penurunan harga belian padi sehingga kini.
“Kenyataan media yang dikeluarkan oleh pertubuhan tersebut adalah tidak tepat dan telah menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pesawah dan pemain industri padi dan beras negara,” kata kementerian itu.
KPKM menggesa supaya penyebaran maklumat berhubung kenyataan ini dihentikan segera dan menegaskan bahawa sebarang penyebaran maklumat tidak sahih ini adalah di bawah tanggungjawab penyebar.
Terdahulu Pengerusi PeSAWAH, Abdul Rashid Yob mendakwa harga baharu belian padi diputuskan dalam mesyuarat pengilang-pengilang beras bersama Ketua Pengarah Bahagian Industri Padi dan Beras (IPB) baru-baru ini.
Beliau mendakwa harga belian padi semasa iaitu RM1,500 hingga RM1,800 per tan metrik telah diturunkan kepada RM1,300 per tan metrik.
Pertubuhan itu juga kesal apabila perbincangan penetapan harga padi yang didakwa dijalankan oleh pihak kementerian bersama para pengilang tanpa melibatkan wakil pesawah.
BACA JUGA ‘Saya dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat’
Â