‘Saya dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat’
Perdana Menteri mempertahankan keputusan pentadbirannya meningkatkan gaji penjawat awam dengan menegaskan tidak ada negara yang runtuh kerana membantu rakyat miskin.
Sebaliknya kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang membuatkan sesebuah negara runtuh adalah disebabkan gelojoh dan hasad dengki.
“Saya yakin tidak ada negara dalam dunia dari zaman purbakala, pentadbiran Raja-Raja dan Maharaja yang merudum dan runtuh kerana membantu rakyat miskin.
“Yang ada (keruntuhan) sebab gelojoh dan hasad dengki, menindas dan merompak serta tamak haloba. Ini yang menyebabkan negara jatuh,” katanya ketika berucap pada perasmian Mesyuarat Perhimpunan Agung Tahunan Majlis Belia Malaysia (MBM) ke-73.
Anwar, yang juga menteri kewangan, berkata meningkatkan gaji kakitangan awam bukan satu isu.
“Saya bersedia buat,” katanya lagi.
Beliau mengambil maklum ada pihak mempertikai usahanya membanteras rasuah, malah mendakwa beliau berbuat demikian kerana dendam.
“Ada yang marah saya, katanya dendam. Dendam apa? Kamu curi berbilion, bagi balik kepada rakyat,” tegas beliau.
BACA JUGA Sah tiada dokumen tambahan atau adendum Istana Negara dalam rekod rasmi BHEUU
Â