Sah tiada dokumen tambahan atau adendum Istana Negara dalam rekod rasmi BHEUU
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri (BHEUU, JPM) sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum yang berada dalam fail atau rekod rasmi mereka.
Ia memaklumkan bahawa Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang tidak pernah menerima sebarang pemakluman atau arahan rasmi dari Istana Negara berhubung perkara ini.
“BHEUU, JPM menegaskan bahawa sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan orang ramai mengenai kedudukan atau peranan Lembaga Pengampunan adalah tidak wajar dan berpotensi mengundang tindakan sewajarnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
BHEUU turut menegaskan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) tidak menganggotai Lembaga Pengampunan mahupun terlibat dengan apa-apa urusan pentadbiran atau pengurusannya termasuk apa-apa perkara lain berkaitan pengampunan mana-mana banduan.
Katanya, prosiding dan maklumat berkaitan Lembaga Pengampunan adalah tertakluk sepenuhnya kepada Akta Rahsia Rasmi [Akta 88].
Maka semua dokumen yang berkaitan hanya boleh diakses oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan dan individu yang diberi kuasa secara langsung oleh Lembaga tersebut.
“Tiada mana-mana pihak lain, tanpa mengira kedudukan atau jawatan, mempunyai akses kepada dokumen-dokumen tersebut, sejajar dengan prinsip kerahsiaan dan integriti,” ujarnya.
Tambahnya, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan, dan Putrajaya adalah sebuah badan bebas yang ditubuhkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.
Peranan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang adalah hanya sebagai Urus Setia kepada Lembaga Pengampunan.
Lembaga Pengampunan bukan sebuah agensi atau jabatan Kerajaan di bawah BHEUU, JPM.
Justeru ia memberi amaran agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang berpotensi mengelirukan orang ramai.
Langkah ini katanya penting bagi memastikan integriti Lembaga Pengampunan terpelihara serta maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada masyarakat.
“BHEUU sentiasa komited dalam menjalankan tugas sebagai Urus Setia dengan penuh integriti, ketelusan, dan profesionalisme selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang lain yang sedia ada.
“Segala urusan berkaitan dengan Lembaga Pengampunan telah dan akan terus dilaksanakan selaras dengan undang-undang dan prosedur yang telah ditetapkan,” katanya lagi.
BACA JUGA Pas hanya tunggang isu Titah Adendum, cetus polemik politik belasah Kerajaan Perpaduan
Â