Video promosi TMM2026: Apa kata Menteri Agama?

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai’im Mokhtar, berkata tindakan menghasilkan semula video promosi Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 sebagai wajar selepas mengambil kira latar belakang semangat Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, Perlembagaan Persekutuan meletakkan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan selain kemajmukan masyarakat di Malaysia.

Beliau berkata, semua sedia maklum institusi masjid dan surau menjadi imej dan identiti tonggak kepada Malaysia.

“Saya faham kegusaran umat Islam di negara ini, tetapi secara peribadi sebagai menteri agama, saya tidak rasa dengan video ini ia menampakkan perkembangan Islam itu tidak mekar kerana kita ada banyak pelan atau program untuk mempertingkatkan syiar Islam.

“Tetapi kita memang tidak boleh nak elak, kerana masjid itu adalah satu imej penting dalam negara kita kerana ia lambang perpaduan dan sebagainya.

“Jadi, kita berharap selepas ini ada perincian video yang memasukkan elemen masjid dalam TMM 2026,” katanya hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Seri Tiong King Sing memberitahu pihaknya akan menghasilkan semula video promosi TMM 2026 mengikut zon dan tempat menarik di setiap negeri.

Langkah itu susulan kecaman banyak pihak yang mendesak MOTAC menarik semula video yang tiada paparan elemen masjid sedangkan terdapat penonjolan gereja di Melaka, patung Dewa Muruga di Batu Caves selain imej Jalan Petaling.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im dalam masa sama menasihatkan orang ramai terutamanya yang bukan Islam bahawa untuk membina sebuah negara yang berjaya dan Madani itu memerlukan inti pati kesatuan dan perpaduan.

“Elemen itu sangat penting. Kita tak mahu hanya kerana perkara kecil ini dan mungkin (ia berlaku) tanpa niat akan menyebabkan masyarakat berpecah belah,” katanya.

Beliau turut memaklumkan keutamaan Kerajaan Madani adalah memartabat syiar Islam di negara ini yang sedang dilaksanakan dengan penuh giat oleh Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui agenda Membangun Malaysia Madani dan Pelan Transformasi Al-Falah.

Jelasnya lagi, usaha pengukuhan Islam sudah digerakkan secara bersepadu bersama semua pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa agama Islam Negeri-Negeri, agensi swasta dan badan bukan kerajaan (NGO).

BACA JUGA Tular video promosi Tahun Melawat Kota Bharu 2024, mana imej masjid?

Â