Saifuddin sahkan anaknya disiasat polis, tegaskan tiada sesiapa kebal undang-undang
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution membuat pendedahan mengejut, mengesahkan anaknya individu yang disiasat polis dalam isu kontroversi baru-baru ini.
Beliau ketika memaklumkan perkara itu kepada pemberita menegaskan bahawa anaknya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati bersalah.
“Anak saya tidak mengatasi undang-undang, kalau ada laporan ke atasnya, ia tanggungjawab polis untuk menyiasat setelusnya dan seadilnya.
“Biarkan proses mengambil tempat, prinsip yang saya pegang adalah semua kita tidak kebal undang-undang, tidak mengatasi undang-undang termasuk anak saya sendiri,” katanya.
Awal minggu ini Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, polis sudah melengkapkan kertas siasatan kes ugutan jenayah yang dikaitkan dengan anak seorang menteri.
Pada waktu itu, identiti menteri terbabit belum lagi didedahkan.
Hari ini, Saifuddin mengesahkan perkara tersebut, mengatakan anaknya tidak akan kebal dari undang-undang.
Sebelum ini, tular di Telegram kes membabitkan anak seorang menteri, yang didakwa mengugut seorang wanita untuk menggugurkan kandungan.
Menurut Razarudin, pihak pendakwaan telah mengarahkan pegawai penyiasat untuk mendapatkan laporan pemeriksaan kandungan wanita yang dikatakan diugut oleh anak menteri terbabit.
Beliau berkata, siasatan awal yang dijalankan juga mendapati anak menteri itu sudah menikahi wanita berkenaan.
BACA JUGA UMNO akan terus mohon ihsan Agong beri pengampunan penuh kepada Najib