Selepas Azalina giliran setpol Zaliha pula buat laporan terhadap KJ, ini puncanya

Selepas Datuk Seri Azalina Othman, kali ini Setiausaha Politik kepada Menteri Wilayah Persekutuan Dr Zaliha Mustafa pula tampil membuat laporan polis terhadap bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Ia berhubung ucapan Khairy tentang Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Setpol Zaliha, Nor Azrina Surip berkata laporan dibuat selepas menerima video berdurasi tiga minit dan 14 saat tentang ucapan Khairy.

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu mendakwa Zaliha sewajarnya tahu mengenai Titah Adendum walaupun ia tidak dibincangkan dalam Lembaga Pengampunan.

Nor Azrina mendakwa kenyataan dikeluarkan Khairy adalah tidak benar dan bertujuan memburukkan imej menteri itu.

“Perkara ini juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan perasaan tidak senang serta suasana panik dalam kalangan rakyat sehingga berkemungkinan boleh menggugat keamanan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dia juga mohon siasatan dijalankan terhadap Khairy atas kesalahan penyebaran maklumat palsu, mengganggu ketenteraman awam dan kesalahan penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian media sosial beliau untuk menyebarkan maklumat palsu atau mana-mana undang-undang yang terpakai.

Semalam, dilaporkan Setiausaha Politik Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman, Suraya Yaacob, membuat laporan susulan Khairy mengaitkan Azalina ‘berkomplot’ menyembunyikan titah itu.

Zaliha merupakan menteri dipertanggungjawabkan dalam Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan.

Kedua-dua mereka memohon supaya siasatan dapat dijalankan secara menyeluruh terhadap Khairy kerana berniat jahat memfitnah, menghina nama baik, dan reputasi menteri serta menyebarkan maklumat palsu.

Bahagian Hal Ehwal Undang-undang dalam kenyataan semalam juga mengesahkan bahawa tiada sebarang dokumen tambahan atau adendum dalam fail atau rekod rasminya.

BACA JUGA Surat mahkamah ditampal pada butik Vivy Yusof di IOI City Mall gara-gara tak bayar sewa RM67k

Â