Surat mahkamah ditampal pada butik Vivy Yusof di IOI City Mall gara-gara tak bayar sewa RM67k

Butik milik usahawan kontroversi, Datin Vivy Yusof di IOI City Mall Putrajaya didakwa telah ditutup selepas dua bulan gagal melunaskan bayaran sewa premis berjumlah lebih RM67,000.

Dua halaman notis Writ Distress (writ saman) yang dikeluarkan Mahkamah Sesyen Sepang menunjukkan terdapat tunggakan sewa berjumlah RM67,872 yang gagal dibayar iaitu pada Oktober dan November 2024.

Atas sebab itu IOI City Mall telah memulakan tindakan dengan memfailkan saman pemula selain melarang pemilik mengambil harta di dalam premis terbabit.

Writ saman itu mengarahkan semua harta alih di dalam premis berkenaan tidak dikeluarkan yang merupakan tunggakan sewa selama dua bulan yang dikenakan IOI City Mall kepada penyewa.

Jumlah sewa bulanan butik tersebut dilaporkan sekitar RM33,500.

Setakat ini, belum ada sebarang penjelasan daripada pihak usahawan tersebut dan kondisi perniagaan butik berkenaan.

Sebelum ini, penutupan butik Duck di KLCC juga menjadi buah mulut ramai.

Kini, dengan isu tunggakan sewa di IOI City Mall, ada pihak mula membuat spekulasi sama ada ini petanda cabaran kewangan yang lebih besar dalam empayar perniagaan Vivy Yusof.

Terdahulu Khazanah Nasional Bhd dan Permodalan Nasional Bhd. (PNB) dilaporkan rugi RM43.9 juta hasil penjualan pegangan minoriti dalam syarikat Fashion Valet Sdn. Bhd.

Khazanah dan PNB hanya menerima RM3.1 juta sahaja daripada jualan saham tersebut.

BACA JUGA Dua hari hujan tak berhenti, mangsa banjir di Johor meningkat kepada 1,263

Â