1MDB tiada apa boleh dipertahan, itu kata Khairy dulu
Oleh FATHI ARIS OMAR
Beberapa bulan selepas Umno tewas mengejut pada 9 Mei, Khairy Jamaluddin meluahkan perasaan yang selama ini terbuku sebagai anggota Kabinet Datuk Seri Najib Razak.
“Isu-isu lain pun tetap dikaitkan dengan 1MDB. Misalnya, kos sara hidup dan GST kerana terpaksa membayar hutang 1MDB.
“Gaya hidup Rosmah (Datin Seri Rosmah Mansor), minta maaflah, juga dikaitkan dengan 1MDB. Jadi, semua dikaitkan dengan 1MDB,” katanya dalam wawancara dengan Mingguan Malaysia (18 November 2018).
Dalam wawancara itu, beliau juga berkata:
“Tidak timbul dahulu sokong, sekarang tidak sokong, lalang dan sebagainya. Takkan kita hendak tegakkan benang basah?
“Samalah Utusan dengan KJ (Khairy Jamaluddin), dua-dua lalang. Dahulu sokong tetapi sekarang ini sudah tidak sokong. Kita semua kena tipu.”
Ada lagi petikan menarik:
“Kalau pecat dan ambil tindakan, kerisauannya kita berpecah. Ada yang cadangkan supaya kumpulan yang masih tidak boleh menerima realiti itu dan kumpulan yang macam saya, elok kita duduk semeja bincang.
“Tetapi bincang macam mana pun ia akan balik kepada soalan itu juga, mereka tidak boleh terima realiti. Bagi Datuk Lokman Noor Adam, Najib tidak salah dan skandal 1MDB tidak wujud. Jadi, di situ dah ada satu jurang terlalu besar antara saya dan dia yang tidak dapat ditutup.”
Memetik wawancara klasik itu, portal mStar pada hari yang sama melaporkan Khairy berkata, ahli Umno tidak boleh mempertahankan isu 1MDB kerana tiada apa untuk mempertahankannya.
“1MDB bukan satu persepsi atau fitnah tetapi merupakan satu kes yang terbukti di Amerika Syarikat, apa yang ada untuk disembunyikan? Hanya mengakuinya,” katanya.
Menurut mStar lagi, berdasarkan wawancara akhbar Umno itu, beliau menolak tanggapan 1MDB memberi manfaat kepada rakyat.
“Kita tidak boleh membersihkan cuci dosa rompakan itu dengan menggunakan sebahagian daripada duit yang dirompak itu untuk melakukan kebaikan,” katanya seperti dipetik.
Sehari sebelumnya, bekas menteri ini juga pernah melabel skandal 1MDB sebagai “biawak hidup” yang menyusahkan parti itu dan BN.
“Umno dan BN tak mahu lagi memikul ‘biawak hidup’ ini… kes 1MDB ini harus diselesaikan. Kami (Umno dan BN) mahu kebenaran dan cerita sebenar mengenai 1MDB.
“Saya sebagai bekas anggota Kabinet kerajaan terdahulu (BN)… tidak mengetahui beberapa perkara dan ada juga perkara dirahsiakan daripada pengetahuan kami semua,” katanya pada 17 Ogos 2018.
Hari ini (10 Jan 2024), menurut Malaysiakini, Khairy menuduh seorang menteri Umno bersubahat menyembunyikan dokumen tambahan yang membenarkan Najib menghabiskan hukuman dengan perintah tahanan di rumah.
“Berbalik kepada Umno, ini menteri kena jawab kenapa menteri Umno bersubahat menyorok addendum ini, ini menteri undang-undang, apa nama dia, Azalina Othman Said,” katanya dalam episod terbaru podcast Keluar Sekejap.
Susulan itu, setiausaha politik menteri berkenaan membuat aduan polis terhadap mantan ketua Pemuda Umno itu.
“Perkara ini juga mengelirukan rakyat dan menimbulkan suasana panik dalam kalangan masyarakat sehingga boleh menggugat keamanan negara.
“Malah penggunaan perkataan ‘complicit’ adalah keterlaluan kerana ia membawa maksud terlibat atau dikaitkan dengan perbuatan yang menyalahi undang-undang mahupun tidak beretika,” kata Datuk Suraya Yaakob.
BACA JUGA Selepas Azalina giliran setpol Zaliha pula buat laporan terhadap KJ, ini puncanya