Amaran gelombang kedua banjir di Johor, apa kata MB?

Johor diramal dilanda gelombang kedua banjir antara Rabu, 15 hingga 18 Januari ini, kata Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Jangkaan itu dimaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) ketika taklimat banjir ketika beliau meninjau pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Tinggi, hari ini.

Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh Bangsa Johor supaya terus waspada dan mendengar arahan daripada pihak berkuasa, supaya usaha pengurusan banjir di negeri itu berjalan lancar.

Menerusi hantaran di Facebook juga, Onn Hafiz memberitahu beliau turut menyampaikan sumbangan bencana kepada mangsa banjir semasa menyantuni mangsa banjir di empat buah pusat pemindahan sementara (PPS) Kota Tinggi iaitu PPS SJKC New Kota, PPS SK Datuk Usman Awang, PPS SK Laksamana dan PPS SRAB Kota Tinggi.

MB Johor menemui antara anak-anak keluarga mangsa banjir di PPS dekat Kota Tinggi, hari ini.

“Menerusi lawatan ini, saya turut diberi taklimat mengenai tiga Projek Tebatan Banjir di Sungai Johor dan Sungai Pemandi yang kini berada dalam fasa pelaksanaan di daerah Kota Tinggi.

“Saya telah mengarahkan pihak berkenaan agar mempercepatkan pelaksanaan projek tebatan ini bagi mengurangkan impak banjir yang sering melanda negeri Johor.

“Isu ini harus ditangani dengan segera dan lebih serius agar kejadian banjir yang sama tidak berulang pada masa hadapan,” tambah beliau lagi.

Sehingga jam 4.30 petang ini, jumlah mangsa banjir di Johor terus melonjak kepada 3,785 orang melibatkan 1,081 keluarga yang ditempatkan di 37 PPS di lima daerah terjejas.

BACA JUGA Menangis rumah mewah terbakar dalam ‘neraka’ Los Angeles, warga dunia ketawakan aktor veteran ini

Â