MP Pas ucap takziah Los Angeles terbakar
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari mengucapkan takziah kepada mangsa kebakaran dahsyat di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) yang setakat ini telah meragut sekurang-kurangnya 16 nyawa.
Menerusi kenyataan malam ini, beliau yang juga Ketua Penerangan Pas berkata, pihaknya turut berdukacita kepada mangsa kebakaran yang telah cedera, terlantar, atau melihat rumah dan mata pencarian mereka musnah akibat malapetaka tersebut.
“Skala tragedi ini tidak dapat dibayangkan, dan kami mengakui keberanian anggota bomba dan sukarelawan yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk menyelamatkan orang lain dan mengawal api,” katanya.

Dalam masa sama, Fadhli menggesa kerajaan, pertubuhan kemanusiaan dan masyarakat antarabangsa untuk mengutamakan usaha bantuan pada kadar segera.
“Bantuan kecemasan, tempat perlindungan sementara, bantuan perubatan, dan rancangan pembinaan semula jangka panjang mesti dilaksanakan dengan pantas untuk membantu mereka yang terjejas membina semula kehidupan mereka,” ujarnya.
Kebakaran hutan terbesar melanda Los Angeles dan kawasan sekitarnya itu disifatkan sebagai bencana alam terburuk di wilayah tersebut dalam tempoh beberapa dekad.

Setakat ini dilaporkan, lebih 9,000 struktur musnah manakala tidak kurang 180,000 penduduk masih berada di bawah arahan pemindahan akibat kebakaran.
Sementara itu, kerugian ekonomi dan kerosakan pula dianggarkan mencecah antara AS$52 bilion (kira-kira RM233.9 bilion) hingga AS$57 bilion (kira-kira RM256.4 bilion).
Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli turut menyeru kepada Presiden AS yang baharu dipilih, Donald Trump untuk menumpukan usaha membantu mangsa bencana tersebut.
Selain itu, ujarnya, pada ketika beribu-ribu penduduk menderita akibat kebakaran hutan yang dahsyat, beliau menggesa Trump untuk meninggalkan sebarang niat untuk menjadikan Gaza sebagai “neraka di bumi.”
“Daripada menyemarakkan kemusnahan dan konflik, marilah kita memperjuangkan usaha kemanusiaan, keamanan dan keadilan untuk semua orang, tanpa mengira kewarganegaraan atau agama.
“Kami berdoa untuk ketahanan orang yang terjejas, dan kami berharap untuk masa depan di mana pemimpin mengutamakan membina semula kehidupan, memupuk perpaduan, dan memastikan keselamatan untuk semua.
“Semoga tragedi ini mengingatkan kita tentang kemanusiaan kita bersama dan keperluan mendesak untuk belas kasihan dalam dunia yang sudah dibebani dengan penderitaan.
“Semoga penduduk Los Angeles mendapat kekuatan, dan semoga dunia bekerjasama untuk keamanan dan bukannya kemusnahan,” seru Fadhli lagi.
BACA JUGA Hujan lebat dan berterusan dijangka empat hari, ini senarai kawasan terlibat
Â