Ternak babi di belakang rumah, daerah di Sabah ini jadi zon merah
Ekoran pengesanan kes demam babi Afrika (ASF) pada 7 Januari lalu, Keningau diklasifikasikan semula sebagai zon merah iaitu zon jangkitan membabitkan penternak babi di belakang rumah.
Sebelum ini, Keningau diisytiharkan sebagai daerah yang dijangkiti ASF pada 1 Julai 2021.
Menurut Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan, virus itu menjejaskan 12 daripada 20 babi yang dipelihara penternak terbabit.
Susulan itu, beliau memaklumkan pergerakan babi dan produknya dari Keningau disekat manakala pengawasan di seluruh Sabah ditingkatkan untuk membendung penyakit itu.
Pada masa sama, petani turut dinasihati untuk mengukuhkan biosekuriti.

“Tindakan juga diambil untuk menghalang petani daripada memberi makan khinzir dengan sisa dapur yang tidak dirawat, selain menggesa petani tidak membeli khinzir hidup atau khinzir daripada sumber yang tidak diketahui,” katanya.
Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) Keningau telah melakukan langkah kawalan segera mengikut Subseksyen 45(2) Enakmen Haiwan 2015 termasuk melupuskan babi dan mengawal pergerakannya.
Jelasnya, siasatan lapangan mendedahkan bahawa babi terbabit menunjukkan tanda klinikal seperti hilang selera makan, lesu, hidung meleleh dan akhirnya mati.
Jeffrey berkata, sampel telah dikumpul, diuji dan keputusan makmal mengesahkan jangkitan ASF.
Mengulas lanjut, beliau berkata, ASF disebabkan oleh patogen Asfivirus melalui sentuhan langsung dengan babi yang dijangkiti atau secara tidak langsung melalui peralatan atau pengendali yang tercemar.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan penternak dan pengusaha ternakan babi supaya melaporkan kepada pejabat DVS berdekatan untuk tindakan segera bagi membendung penyakit terbabit jika gejala dikesan.
Jeffrey turut memberi jaminan bahawa bekalan daging babi untuk Tahun Baru Cina akan datang mencukupi dari ladang tempatan di Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau.
BACA JUGA Hujan lebat dan berterusan dijangka empat hari, ini senarai kawasan terlibat
Â