Dulu pasal stoking, kini heboh sandwic ‘ham & cheese’: Ini tindakan KK Supermart terhadap pembekal
Hangat dengan isu stoking kalimah Allah tahun lalu, KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Supermart) kini bergelut dengan kes penggunaan logo halal yang diragui pada produk sandwic ‘ham and cheese’ pula.
KK Supermart dalam kenyataan hari ini memaklumkan telah membekukan urusan perniagaan dengan syarikat pengeluar makanan itu sementara dalam tempoh siasatan susulan isu tersebut.
Syarikat peruncitan tempatan itu berkata, mereka turut menghentikan kemasukan produk berkenaan di 16 KK Concept Store dan menutup dua premis di Universiti Malaya (UM) untuk siasatan lanjut.
“Untuk makluman semua, produk sandwic itu dikilangkan dan diusahakan oleh sebuah syarikat pengeluar, dengan produk terbabit dipasarkan kepada pelanggan melalui beberapa platform perniagaan termasuk KK Concept Store.
“Pihak syarikat terbabit mengemukakan sijil halal bagi kepingan ayam serta kepingan keju, dan penulisan perkataan berkenaan adalah daripada pihak syarikat itu.
“Tulisan dipamerkan pada bungkusan roti sandwic itu juga adalah daripada pihak syarikat terbabit,” menurut KK Supermart.
Menerusi kenyataan itu lagi, pihak KK Supermart melalui peguam dilantik sudah menghantar surat tuntutan (LOD) kepada syarikat terbabit pada 10 Januari lalu serta membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan, kelmarin.
Menurutnya, difahamkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sudah melakukan serbuan di kilang pengeluar di Sunway Damansara, Petaling Jaya, Selangor, pada 10 Januari lalu.
“Pihak kami (KK Supermart) bersedia memberikan kerjasama sebaiknya.
“KK Supermart juga memandang serius perkara itu dan sekali lagi menyatakan akan sentiasa memberi kerjasama kepada pihak berkuasa dalam membantu siasatan,” katanya lagi.
BACA JUGA Ternak babi di belakang rumah, daerah di Sabah ini jadi zon merah
Â