‘Kesian betullah tengok…’, gelagat Tun M acah cari RM3 bilion dicemuh
Orang ramai dilihat meluahkan rasa ‘kasihan’ melihatkan gelagat Tun Dr Mahathir Mohamad mencari wang berjumlah berbilion ringgit yang didakwa dimilikinya.
Bakal menjangkau 100 tahun pada 10 Julai ini, bekas Perdana Menteri dua kali itu mencari wang yang didakwa berjumlah RM3 bilion itu di merata kawasan termasuk di belakang televisyen.
“Barangkali ada dalam bilik,” katanya selepas ‘mencari’ di belakang televisyen.
Bekas Ahli Parlimen Langkawi yang kalah teruk dan hilang wang deposit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu kemudiannya dilihat bergerak ke bilik.
“Dua tahun cari tak jumpa,” katanya dalam rakaman berdurasi 1 minit 26 saat di platform X ketika menjawab soalan perakam video.
Ketika ditanya sama ada ingin meneruskan pencarian di Switzerland, Mahathir setuju dengan cadangan tersebut.
Dalam masa sama, mantan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu berpendapat wang yang dicari itu mungkin ada di Switzerland.
“Kita pergi Switzerland, bank di Switzerland barangkali ada (wang) di situ.
“Jom kita pergi,” ujar bekas pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) berkenaan lagi.
Meninjau ruangan komentar, rata-rata berpendapat Mahathir dalam keadaan terdesak ketika era pentadbiran kerajaan diterajui Datuk Seri Anwar Ibrahim pada masa ini.
“Hahaha… Dah tua-tua nak buat video macam ni ke. Kesian betul lah tengok,” tulis pengguna X, @AyadolaKamoni.
“Ini tahap negarawan bila dah terdesak 😂🤣,” kata @timothyutiey.
“Kesian, seorang yang sangat dihormati akhirnya hanya mampu berkawan dengan Papagomo saja selepas berpuluh tahun di puncak kekuasaan,” tempelak @ZohaIrwan pula.
Tahun lalu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberikan notis kepada dua anak Mahathir iaitu Tan Sri Mohkzani dan Mirzan untuk mengisytiharkan harta, ketika bapa mereka pertama kali menjadi Perdana Menteri.
Mahathir pula memfailkan saman berjumlah RM150 juta terhadap Anwar Ibrahim berhubung dakwaan bahawa beliau mengumpul kekayaan peribadi ketika berkuasa.
BACA JUGA Menangis rumah mewah terbakar dalam ‘neraka’ Los Angeles, warga dunia ketawakan aktor veteran ini