Projek Ladang Satelit Ihsan Tani boleh tingkatkan pengeluaran cili negara

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu yakin pelaksanaan projek Ladang Satelit Ihsan Tani di Kuala Langat, Selangor mampu meningkatkan pengeluaran cili negara.

“Projek ini adalah satu inisiatif pertanian yang sangat berpotensi dan berperanan penting dalam meningkatkan pengeluaran hasil pertanian negara, khususnya dalam sektor tanaman cili.

“Dengan kerjasama erat antara komuniti Sungai Kelambu dan pengurusan Pusat Pertanian Komuniti (PPK) Kuala Langat, projek ini bertujuan untuk memberikan sumbangan besar dalam memperkasa komuniti tempatan serta meningkatkan hasil pertanian melalui penggunaan teknologi moden.”

Projek di bawah kelolaan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) ini melibatkan 20 peserta tempatan di kawasan seluas 10 ekar dan peruntukan sebanyak RM3 juta menggunakan sistem fertigasi yang efisien dan berdaya saing.

Buat permulaan 40,000 polibeg cili akan ditanam.

Sistem fertigasi yang digunakan dalam projek ini merupakan satu kaedah pertanian moden yang dapat memastikan pengurusan air dan nutrien tanaman lebih efisien, sekaligus meningkatkan kualiti dan kuantiti hasil.

Teknologi ini turut dijangka dapat mengurangkan penggunaan air serta memberi impak positif terhadap kelestarian alam sekitar.

Sebagai satu projek yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti, Ladang Satelit Ihsan Tani juga berperanan dalam memperkasakan golongan belia dan petani tempatan.

Projek ini tidak hanya menyasarkan peningkatan hasil pertanian, tetapi juga bertujuan untuk memupuk semangat kerjasama dan membangunkan keusahawanan dalam kalangan komuniti setempat, kata LPP.

BACA JUGA: Semakin ramai warga Singapura ke Malaysia untuk terapi sel stem

Â