Solat Jumaat jadi antara alasan majikan China enggan ambil pekerja Melayu
Tular dakwaan angkuh lagi bebal seorang individu dipercayai warga China yang menyenaraikan lima sebab enggan menggajikan pekerja Melayu termasuk isu solat Jumaat.
Menerusi rakaman video berdurasi hampir seminit itu, lelaki berkaca mata berkenaan selamba mempertikai hak pekerja untuk mengerjakan solat Jumaat apabila mendakwa orang Melayu akan ‘hilang’ sepanjang petang Jumaat.
“Setiap Jumaat mereka perlu ke masjid untuk bersembahyang.
“Bermakna sepanjang petang Jumaat, dia (Melayu) akan menjadi MIA (Missing In Action iaitu tidak hadir),” katanya dalam nada sinis.
Selain itu, individu warga asing berkenaan juga pukul rata menganggap pekerja Melayu suka mengambil banyak cuti dengan pelbagai alasan.

“Bilangan cuti adalah di luar imaginasi anda. Alasan mereka… kadang-kadang Ah Ma, Ah Gong, makcik, pakcik meninggal dunia.
“Haiwan peliharaan saya sakit. Saya jatuh sakit. Saya kena kemalangan,” ajuknya.
Dia juga mendakwa orang Melayu tidak akan mengambil kerja lebih masa (OT).
“Jangan fikir tentang itu. Mereka tidak akan OT seumur hidup anda,” ujarnya.
Lelaki tersebut turut mendakwa orang Melayu mempunyai pengurusan kewangan yang lemah apabila membelanjakan apa sahaja yang mereka peroleh.
“Hidup mereka sangat enjoy. Itu sebab mereka sentiasa tiada wang. Mereka akan sentiasa meminta advance,” jelasnya lagi.
Rata-rata mengecam dakwaan warga China berkenaan yang disifatkan rasis dan sengaja menjadikan lima faktor itu sebagai alasan untuk tidak menggajikan pekerja Melayu.
Dalam masa sama, orang ramai turut berharap kerajaan memastikan syarikat-syarikat dari China yang mahu beroperasi di Malaysia menghormati budaya dan mematuhi Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022.
“Dengar cakap saya, dia orang Cina dari China. Dan budaya kerja mereka ialah kerja kaw kaw, malah ada istilah 996, bermakna pagi 9 pagi hingga 9 malam, selama 6 hari. Begitulah daya saing di China, malah Malaysia Cina pun tak boleh tahan,” jelas pengguna X, @esreally01.
“Melayu yang suka-suka ambil cuti, berbelanja tu memang ada, yang tak suka OT memang ada. Tapi masih ramai lagi Melayu yang tak pernah ambil MC atau jarang ambik AL. Masih ramai Melayu sanggup OT sebab nak tambahkan pendapatan bulanan. Dan juga ramai Melayu masih menabung ASB, TH, Emas, dan lain-lain,” tegas @potong_line99.
“Yang lain tu ok la, no right no wrong. Itu pandangan dia. Part solat Jumaat tu tak sepatutnya dipertikaikan. Termaktub dalam garis panduan Akta Kerja 1955 waktu solat Jumaat dibenarkan 1.30 jam dan menjadi kesalahan menghalang mana-mana individu beragama Islam menunaikan solat,” kata @2kosong25.
“… Majoriti pekerja Melayu. Tang mana kata Melayu pemalas tak nak OT. Boleh je OT janji bayar bukan kerja amal,” tempelak @amrarf700.
“Pasal solat Jumaat tu HR dia tak advice on Labour Law ke? Benda senang pun kena buat video bodoh. Jumaat tu kira extended lunch break je la. Patutnya sebelum buat bisnes di Malaysia dah study semua ni dulu. Lemah!” kata @adrul16.
BACA JUGA Apa punca pelabur China berebut nak masuk Malaysia tahun ini?
Â