Adun Pas keluarkan kenyataan jijik, sanggup perlekeh prinsip Islam – AMK
Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia mengecam sekeras-kerasnya Tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Melor, Wan Rohimi Wan Daud tanpa malu mengeluarkan kenyataan tidak berasas dan jijik terhadap Perdana Menteri.
Ketua Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA) AMK, Ustaz Ashraf Hadi berkata, tuduhan kononnya Datuk Seri Anwar Ibrahim membisu mengenai isu Adendum Najib Razak adalah fitnah murahan yang membuktikan Wan Rohimi tidak faham isu dan hanya mencari publisiti murahan.

“Lebih menjijikkan, Wan Rohimi mengungkit kembali tuduhan liwat terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim, walaupun telah menerima pengampunan diraja.
“Ini adalah fitnah keji yang bertentangan dengan ajaran Islam.
“Malah, buku Qazaf yang ditulis oleh Presiden Pas sendiri, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, dengan jelas menolak tuduhan tanpa bukti.
“Tindakan Wan Rohimi ini menunjukkan beliau bukan sahaja jahil, tetapi juga sanggup memperlekehkan prinsip Islam demi politik kotor,” tegasnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, tular sedutan video ceramah Wan Rohimi yang mengaitkan Perdana Menteri dengan isu pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.
Menerusi rakaman yang tersebar di TikTok itu, Wan Rohimi yang juga Pengerusi Lajnah Undang-Undang Pas Pusat menuduh Perdana Menteri menganiaya Najib sebagai seorang banduan yang telah diberi pengampunan.
“Main xxx orang . Bukan lekeh-lekeh. Main xxx, saudara.
“Tiada sejarah pemimpin kita tapi ada orang angkat jadi Perdana Menteri, nak buat macam mana,” kata Wan Rohimi sebanyak dua kali mengulang tuduhan ‘main’ itu.
Mengulas lanjut, Ustaz Ashraf turut berkongsikan sabda Nabi Muhammad SAW, “Fitnah itu sedang tidur, maka laknat Allah ke atas sesiapa yang membangunkannya.” (Riwayat al-Rafi’e)
Beliau menyifatkan kenyataan Wan Rohimi itu mencerminkan betapa rendahnya moral dan akhlak pemimpin Pas berkenaan sebagai seorang pemimpin.
“Sikap ini hanya mencerminkan desperasi politik Pas yang semakin hilang arah dan terdesak mencari isu untuk menyerang lawan,” tegasnya.
Sehubungan itu, beliau berkata, AMK memberi amaran keras kepada Wan Rohimi dan mendesak peguam tersebut untuk segera memohon maaf secara terbuka atas fitnah yang dilemparkan.
“Jika beliau gagal berbuat demikian, AMK tidak akan teragak-agak untuk membuat laporan polis dan mengambil tindakan undang-undang demi mempertahankan kebenaran serta menghentikan politik kotor yang mencemarkan keharmonian negara,” kata Ustaz Ashraf lagi.
BACA JUGA Tergamak Adun Pas ini fitnah PM Anwar, ulang sebut sampai dua kali