Kementerian Pertahanan nafi pemberhentian besar-besaran pegawai tertinggi ATM
Kementerian Pertahanan menafikan dakwaan bahawa pihaknya akan menamatkan perkhidmatan semua panglima serta melakukan pertukaran pegawai tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hujung bulan ini.
Kementerian itu dalam kenyataan menegaskan, tiada kaitan antara pemberhentian pegawai-pegawai ATM dengan proses pajakan helikopter bernilai RM16 bilion seperti yang dihebahkan.
“Kementerian Pertahanan dengan ini menafikan kenyataan berkenaan dan mengesahkan bahawa tiada saling perkaitan antara pemberhentian atau pertukaran panglima-panglima ATM dengan proses pajakan helikopter seperti yang dihebahkan,” katanya dalam kenyataan itu.
Dalam pada itu, satu laporan berita palsu telah dibuat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) termasuk laporan polis sebagai tindakan untuk memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil ke atas pihak yang menghebahkan maklumat palsu.
Masyarakat dinasihatkan tidak mudah terpengaruh dengan berita yang tular di media sosial kerana ia boleh membentuk persepsi negatif terhadap pertahanan negara yang boleh menggugat keamanan.
“Adalah ditegaskan menyebarkan berita palsu adalah kesalahan undang-undang yang boleh didakwa, antara lain mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998,” katanya.
Terdahulu, sebuah akaun TikTok mendakwa Kementerian Pertahanan akan menamatkan perkhidmatan panglima angkatan tentera (PAT), panglima tentera darat (PTD), panglima tentera laut (PTL) dan panglima tentera udara (PTU) serta pertukaran pegawai tertinggi ATM hujung bulan ini.
BACA JUGA Cakap bukan main lagi… Siti Kassim sekolahkan Adun Pas
Â