Saifuddin tunjuk contoh baik tidak campur tangan siasatan anak
Tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution yang terbuka menyerahkan kepada pihak polis untuk menyiasat kes ugutan jenayah didakwa melibatkan anaknya, menunjukkan contoh yang baik sebagai menteri KDN.
Pengerusi Biro Undang-Undang (Kanun) AMANAH, Dr Zulqarnain Luqman berkata, ini kerana Saifuddin tidak cuba untuk menutup sebarang siasatan walaupun ke atas anaknya sendiri.
“DS Saifudin menunjukkan contoh yang baik sebagai menteri KDN yang mempunyai kuasa ke atas PDRM. Beliau tidak cuba untuk menutup sebarang siasatan walau pun ke atas anaknya sendiri.
‘Beliau menyerahkan kepada PDRM untuk membuat siasatan lanjut dan seterusnya kepada pendakwa raya.
“Ini boleh dikaitkan dengan sumpah beliau semasa mengambil jawatan sebagai menteri untuk memelihara Perlembagaan,” katanya ketika dihubungi Harapan Daily.
Kata Zulqarnain, perkara sama pernah berlaku kepada Datuk Seri Mohamad Sabu ketika anaknya didakwa atas kesalahan narkotik.
Pada waktu itu kata beliau, Mohamad juga tidak mencampuri siasatan dan pendakwaan pihak berkuasa.
“Dalam hal yang sama DS Mohamad Sabu pun pernah mengalami perkara yang sama apabila anaknya ditangkap dan dituduh di mahkamah atas kesalahan narkotik.
“Beliau tidak masuk campur dalam siasatan dan pendakwaan. Akhirnya anaknya dibebaskan oleh mahkamah,” katanya lagi.
Untuk rekod pada 2021 Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskan anak Mohamad iaitu Ahmad Saiful atas tuduhan penyalahgunaan dadah di sebuah hotel terkemuka, dua tahun lalu.
Berkenaan kes anak Saifuddin, beliau sebelum ini telah menegaskan bahawa anaknya tidak akan terlepas daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati terlibat dalam kes ugutan jenayah seperti yang didakwa.
Pada masa yang sama, beliau menyerahkan kepada pihak polis membuat siasatan kes tersebut sekiranya terdapat laporan dibuat terhadapnya.
Semalam polis telah mengesahkan sijil nikah anak beliau adalah sah, selepas mereka berkahwin di negara jiran September lalu.
BACA JUGA Sah tak betul dakwaan MP PN, tiada lima pengarah bebas MAHB ditamatkan perkhidmatan!
Â