Apa status Waktu Bekerja Berlainan? Ini penjelasan Dr Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, Waktu Bekerja Berlainan (WBB), sistem syif baharu untuk pekerja penjagaan kesihatan awam masih di peringkat cadangan dan belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan.

Beliau menegaskan sebarang penambahbaikan perkhidmatan termasuk dari segi kebajikan petugas adalah usaha yang berterusan.

“WBB sebenarnya adalah satu cadangan yang masih di peringkat cadangan.

“Apa pun ini (hanya) cadangan, masih dalam status cadangan dan belum sampai kepada saya, (apatah lagi) Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Malangnya, semacam didedahkan, mungkin sengaja didedahkan. (Apa pun) saya belum lagi meluluskan cadangan ini,” jelasnya.

Dr Dzulkefly berkata demikian kepada media pada Majlis Penyerahan Kaca Mata Bagi Program Pemeriksaan Refraksi dan Penajaan Pembetulan Ketajaman Penglihatan Murid Sekolah di Putrajaya, hari ini.

Sebelum ini, Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) bimbang pelaksanaan WBB untuk pekerja penjagaan kesihatan awam akan memburukkan lagi kekurangan tenaga kerja sedia ada, mengakibatkan doktor dibebani tugas berlebihan dan menjejaskan kualiti penjagaan pesakit.

Selain itu, sistem perintis tersebut dikatakan boleh menyebabkan kerugian pendapatan bagi pegawai perubatan dan pakar.

Di bawah sistem baharu ini, elaun ‘on-call’ pada hari bekerja tidak akan diberikan dan syif malam akan dianggap sebagai waktu kerja biasa dalam tempoh 45 jam seminggu.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, beliau akan mengambil maklum akan sebarang kegusaran yang disuarakan pelbagai pihak berkaitan isu tersebut.

“Bahasa mudahnya ialah saya belum lagi meluluskannya dan ia (cadangan itu) masih lagi melalui proses penambahbaikan,” kata Dr Dzulkefly lagi.

BACA JUGA Solat jenazah pengarang buku Travelog Haji umpama solat Jumaat

Â