Amerika boleh hentikan perang lebih awal jika mereka tidak bekalkan senjata, bom

OLEH RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH

Pengumuman gencatan senjata dan ‘tamat perang’ Gaza telah disambut umumnya dengan kegembiraan dan sikap ‘sceptical’ oleh dunia.

Gencataan senjata tersebut hanyalah untuk sementara bagi Israel dan soalan utama adalah untuk siapa dan apakah pengumuman ini dibuat?

Presiden Biden dan Trump kedua duanya mengakui kejayaan gencatan tersebut adalah hasil usaha peribadi mereka.

Waktu pengumuman itu dibuat beberapa hari sebelum Trump mengambil alih tempat Biden sebagai Presiden Amerika menunjukkan motif politik semata-mata, yang jelas kelihatan bagi kedua-dua pihak untuk meraih populariti.

Dalam ucapannya Biden menyatakan kejayaan gencatan senjata ini akan mengakhiri “penderitaan panjang rakyat Gaza yang telah mengalami neraka di dunia yang dahshat !”

Siapakah yang membolehkan neraka di dunia ini berlaku dengan membekalkan bom serta senjata canggih selama 15 bulan lepas ini kepada Israel kalau bukan Biden dan Amerika?

Trump pula mengugut dengan menjanjikan “all hell will break loose” – neraka akan berlaku , jika pihak berkenaan tidak menepati kehendak Amerika di Gaza!

Kedua-dua Presiden Amerika tersebut berlagak seolah-olah seperti merekalah tuhan di dunia dengan menjanjikan neraka kepada siapa yang ingkar kehendak mereka.

Sebenarnya Amerika sudah lama boleh menghentikan penderitaan di Gaza jika mereka menghentikan bekalan senjata dan bom kepada Israel.

Marilah kita berdoa gencatan senjata ini akan kekal untuk menyelamatkan rakyat Gaza dan akan lahirnya sebuah negara berdaulat bernama Palestin.

Kita berharap penderitaan genocide kejam di Gaza telah membuka mata terutamanya rakyat dan kerajaan  negara-negara barat dan juga Arab tentang sikap hipokrit kerajaan mereka yang tidak bertindak seperti sepatutnya.

Jatuhnya kerajaan Syria baru-baru ini telah menimbulkan kerisauan di negara Arab lain, seperti Mesir sekutu rapat Amerika, tentang kuasa rakyat untuk mencetuskan “Arab spring” baru atas perasaan tidak puas hati sikap kerajaan mereka.

Palestin walaupun kecil tetapi ia sangat bermakna dan berupaya menyatukan umat Islam sedunia menghadapi kekejaman Israel dan negara Barat.

Apa jua janji-janji manis dan palsu negara Barat untuk melalaikan umat Islam sedunia, sudah cukup bukti pahit lepas yang nyata sikap penjajah dan munafik mereka selama ini.

Perjalanan dan ranjau yang mesti dilalui oleh rakyat  Palestin masih jauh dan kita mesti senantiasa berwaspada tipu helah musuh musuh Islam yang ingin melalaikan dan memecah belahkan umat Islam.

Kepada Allah kita terus berdoa dan berserah untuk bumi Palestin dan kejayaan umat Islam sedunia. InsyaAllah.

BACA JUGA Solat jenazah pengarang buku Travelog Haji umpama solat Jumaat

Â