Ceramah perkara jijik dan kotor, pendukung Pas bantai Adun Kelantan
Seorang pendukung Pas ‘membantai’ sikap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) partinya di Kelantan yang menjadikan perkara jijik dan kotor sebagai modal kempen dan ceramah.
Dikenali sebagai Tanaka Mustafa, dia menegaskan bahawa sebagai pemimpin, penceramah dan pempengaruh tidak perlu melakukan kerja setaraf dengan tentera siber yang tidak berpelajaran.
“Duk main isu liwat dengan konotasi nak memburukkan orang. Bukan target yang nampak buruk, tapi entum dengan parti entum yang nampak buruk.
“Benda jijik macam tu orang tak buat modal kempen dan ceramah. Kalau dah start, dia akan naik syeikh dan kompom terlajak.
“Setan akan kipas bagi terus naik syeikh,” katanya di Facebook mengakui sudah meluat untuk mengulas isu tersebut.
Walaupun tidak menyatakan siapa pemimpin Pas yang dimaksudkan namun dia berkongsikan tajuk satu laporan portal berita berkaitan Adun Melor, Wan Rohimi Wan Daud.
Terdahulu, tular sedutan video ceramah Wan Rohimi yang dipercayai dituju kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Wakil rakyat Pas berkenaan mendakwa tidak pernah ada dalam sejarah di negara ini, bekas banduan diangkat sebagai pemimpin.
Wan Rohimi yang juga peguam berkata, kes melibatkan Anwar itu “bukan lekeh-lekeh” kerana dipenjarakan atas kesalahan apa yang disebutnya sebagai “main punggung”.
Mengulas lanjut, Tanaka menempelak penyokong benak yang bersorak akan menambahkan lagi galakan untuk menggemburkan cerita jijik.
“Banyak lagi isu lain yang boleh dibelasah berbanding isu tak senonoh begitu. Duk main isu dalam kain orang saja akan menampakkan entum tak reti pikir isu lain dah.
“Orang akan kata nak sembang ekonomi tak reti, nak sembang cara majukan negeri tak reti, nak sembang hal geopolitik dunia tak reti… nak bagi nampak pandai ceramah, koreak cherita burok tak senonoh saja. Itu bukan style politik yang baik,” tulisnya.
Tanaka menambah kenyataan pemimpin itu memalukan dan dibimbangi jadi fasik jika ucapan itu terkait hukum qazaf.
“Bukan fasiq biasa-biasa, fasiq yang Tuhan suruh tolak kesaksian selamanya.
“Entum boleh laa nak nafi ka nak twist konon bukan qazaf. Niat entum dan keghairahan entum semasa berceramah tu, Tuhan Maha Mengetahui.
“Apabila Tuhan murka, tak mustahil 32-0 boleh jadi 0-32 kelak. 43-2 jadi 2-43,” katanya merujuk kepada penguasaan kerusi DUN Pas masing-masing di Terengganu dan Kelantan.
Dalam masa sama, Tanaka juga berpendapat pemimpin Pas harus licik dalam berdepan musuh politik selain mempersoal di mana
“Jika musuh kita licik dan ada agenda halus tersembunyi, kenapa kita tak boleh rencanakan juga satu modus operandi licik, halus dan tersembunyi untuk melawan taktikal licik musuh itu?
“Think tank mana? Jangan kata think tank pun ajak rempuh guna cara karut begitu pulak… memang jem,” kata Tanaka lagi.
BACA JUGA Siapa Ketua Pengarah baharu JKOM yang dipanggil Tok Abah?