GISBH: 107 kanak-kanak masih belum dituntut ibu bapa kerana bimbang ditangkap

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menasihatkan agar ibu bapa kepada kanak-kanak Global Ikhwan Services Bussiness and Holdings Sdn Bhd (GISBH) segera hadir mengambil anak masing-masing.

Beliau berkata, seramai 107 kanak-kanak yang dikaitkan dengan kumpulan itu masih berlindung di lapan institusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sehingga kini.

Nancy berkata pihaknya mengenalpasti ada keluarga kanak-kanak yang sudah berhubung, namun enggan menuntut anak mereka atas alasan bimbang ditangkap pihak berkuasa.

“Saya menasihatkan agar ibu bapa kepada kanak-kanak itu hadir mengambil anak masing-masing. Kita difahamkan mula-mula ada yang ingin menuntut tapi mungkin ada yang nasihat mereka supaya jangan dituntut dulu sebab ada kaitan dengan tindakan kerajaan.

“Saya rasa itu tak adil sebab kita tak serahkan sebelum ini kerana menunggu laporan polis dan proses perundangan. Jadi saya sarankan kepada ibu bapa terbabit, datanglah kepada kita.

“Kita pun tak mahu jaga anak orang dan tiada agenda tersembunyi sebaliknya ingin membantu. Nak ambil anak orang bukan mudah, lagipun ramai lagi anak di institusi kita yang perlu dijaga,” katanya dalam sidang media, hari ini, menurut BH Online.

Media sebelum ini melaporkan seramai 660 kanak-kanak diselamatkan dalam Op Global dengan 559 daripada mereka mendapat perintah mahkamah untuk penjagaan dan perlindungan di bawah JKM bermula Oktober hingga Disember tahun lalu.

Katanya, ibu bapa tidak perlu risau untuk datang mengambil anak mereka kerana mereka boleh berunding selain perlu hadir ke mahkamah untuk proses penyerahan.

“Datanglah berunding dengan kita. Apa yang jadi masalah sebenarnya, jangan menyalahkan kita (JKM) kerana kita bukan nak menangkap tapi melindungi keadaan mereka,” katanya.

BACA JUGA Korea Selatan tak sangka Malaysia ada visi Malaysia MADANI yang selari tema ASEAN 2025