Korea Selatan tak sangka Malaysia ada visi Malaysia MADANI yang selari tema ASEAN 2025
Ketika Malaysia mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN tahun ini, Korea Selatan menyatakan keyakinan dan keterujaannya terhadap kepemimpinan Malaysia.
“Kami amat teruja Malaysia menggalas jawatan Pengerusi ASEAN ketika kami memulakan tahun pertama perkongsian baharu ini,” kata Timbalan Menteri Luar Korea Selatan, Chung Byung Won.
Chung berkata beliau juga kagum dengan visi Malaysia MADANI yang dianggapnya selari dengan tema ASEAN 2025 iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan.
Justeru beliau menyatakan komitmen untuk menyokong sepenuhnya Malaysia dalam mencapai matlamat yang digariskan di bawah tema ini.
“Adalah mengagumkan melihat visi Malaysia MADANI sejajar dengan tema tahun ini iaitu ‘Keterangkuman dan Kemampanan.’
“Korea Selatan komited untuk menyokong sepenuhnya Malaysia dalam mencapai matlamat yang digariskan di bawah tema ini,” kata beliau menurut Bernama.
Beliau berkata demikian dalam temu bual bertulis eksklusif bersama Bernama sempena Permukiman Menteri Luar ASEAN (AMM) dari 18 hingga 19 Januari di Langkawi, Kedah.
Chung berkata, Malaysia sebagai anggota pengasas ASEAN, telah memainkan peranan penting dalam kerjasama ASEAN dan menunjukkan kepimpinan yang signifikan.
Beliau turut menekankan bahawa pelaksanaan Visi Komuniti ASEAN 2045 yang akan datang merupakan peluang kritikal bagi Malaysia untuk mengemudi blok itu ke arah strategi yang padu dan berpandangan jauh untuk dua dekad akan datang.
“Kami berharap Malaysia akan menunjukkan kepimpinan intelektual dan institusi dalam membimbing ASEAN ke arah hala tuju strategik organisasi ini untuk 20 tahun akan datang,” ujarnya lagi seperti dilapor.
BACA JUGA Mat Sabu mahu ‘reform’ semula industri padi dan beras negara, apa maksudnya?
Â