Mat Sabu mahu ‘reform’ semula industri padi dan beras negara, apa maksudnya?

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pihaknya akan memfokuskan usaha untuk mereformasi industri padi dan beras negara tahun ini.

Beliau berkata, KPKM amat memahami keluhan para pesawah tentang harga belian lantai padi yang dianggap tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Justeru katanya kertas cadangan akan dibawa ke Kabinet kelak.

“Insya Allah, kertas cadangan akan dibawa ke Kabinet untuk memastikan kebajikan pesawah, pemain industri, dan rakyat terus terbela,” ujarnya.

Untuk tahun ini kata Mohamad, KPKM akan memberi tumpuan kepada beberapa komponen di sepanjang rantaian nilai industri padi dan beras negara seperti mengukuhkan infrastruktur pengairan di kawasan dalam jelapang dan luar jelapang padi negara.

Kedua, membangunkan jelapang padi baharu negara di Sabah dan Sarawak.

KPKM juga berhasrat membangunkan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara; selain melakukan pengstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras..

“Tumpuan yang serius juga diberikan kepada usaha meningkatkan produktiviti ruminan, terutamanya daging lembu dan kerbau.

“Jawatankuasa Khas Pemerkasaan Industri Ruminan telah ditubuhkan dengan memberi fokus memperkasa industri ruminan negara agar ia berkembang dengan lebih mampan dan kompetitif.

“Saya mahu setiap pihak bertanggungjawab memberi tumpuan penuh dan tanpa berlengah memastikan objektif jawatankuasa ini dapat dicapai dalam tempoh yang ditetapkan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohamad menyeru semua warga Kementerian agar terus mengamalkan prinsip integriti, kejujuran, dan kecekapan yang menjadi asas kepada perkhidmatan berkualiti dan kecemerlangan organisasi.

BACA JUGA Amerika boleh hentikan perang lebih awal jika mereka tidak bekalkan senjata, bom

Â