Pemilik lori tampar pegawai Puspakom gara-gara kenderaan tak lepas pemeriksaan

Seorang pegawai Puspakom ditampar seorang lelaki dipercayai pelanggannya gara-gara lori yang dihantar ke pusat itu gagal dalam pemeriksaan kenderaan.

Dalam rakaman tular, pemilik lori memanggil salah seorang kakitangan Puspakom sambil menunjukkan sekeping surat, sebelum kemudiannya menampar pegawai itu.

Video itu dimuat naik di X sebelum tersebar ke TikTok dan Facebook.

Sementara itu, polis mengesahkan kejadian tersebut berlaku kepada seorang kakitangan Puspakom di Taman Daya, Johor November lalu.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan Raub Selamat dalam kenyataan berkata pihaknya menerima video itu kira-kira 3 petang semalam menerusi satu pautan di aplikasi X.

Beliau berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira 5.40 petang pada 18 November lepas melibatkan seorang lelaki warga tempatan berusia 59 tahun yang merupakan pelanggan Puspakom.

Suspek katanya bertindak menampar seorang lelaki berusia 28 tahun selepas mendapati lorinya gagal dalam pemeriksaan kenderaan yang dijalankan mangsa.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan,” katanya.

Beliau juga menasihati orang ramai untuk tidak menyebarkan video berkenaan di media sosial bagi mengelakkan salah faham atau spekulasi yang boleh menjejaskan siasatan.

BACA JUGA ‘Becoming Hannah’ bukan buku agama tapi ada yang Dr Kamarul Zaman tidak setuju