Puluhan pelajar SPM di kawasan Presiden Pas ‘berkawad’ depan IPD, apa sebabnya?

Tular di media sosial rakaman video menunjukkan puluhan pelajar lelaki ‘berkawad’ di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang, Terengganu.

Gelagat mereka di kawasan Parlimen yang dikuasai Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang itu menarik perhatian orang ramai.

Masih berbaju sekolah tetapi berconteng dengan pelbagai imej dan warna, mereka dipercayai baru selesai menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Mereka terbabit dilihat beratur dengan memegang bahu rakan masing-masing untuk memasuki Balai Polis Marang.

Ada antara mereka yang kelihatan gembira sambil melambai-lambai ke arah perakam video.

Difahamkan, motosikal yang ditunggang remaja berusia 17 tahun terbabit telah disita.

Sementara itu, terdapat individu yang mengaku abang kepada salah seorang pelajar dalam barisan tersebut memberitahu sebab mereka kena ‘angkut’ polis.

“Kena tahan sebab lepak tepi pantai dalam kumpulan. Itu adik saya ada,” kata seorang pengguna TikTok.

Dikatakan juga mereka terbabit telah selesai menduduki SPM dengan kertas terakhir adalah Pendidikan Seni Visual (PSV) pada 16 Januari lalu.

Sejurus ‘merdeka’ dari SPM, mereka secara berkumpulan bermotosikal ke Pantai Pulau Kekabu di Marang.

BACA JUGA Ceramah perkara jijik dan kotor, pendukung Pas bantai Adun Kelantan

Â