Tebusan akan dibebas lusa tapi angka korban Gaza terus meningkat
Pejabat Perdana Menteri Israel memaklumkan perjanjian gencatan senjata boleh diteruskan mengikut garis masa yang dirancang, dengan tebusan dibebaskan seawal lusa, 19 Januari, jika diluluskan oleh Kabinet rejim itu.
Walau bagaimanapun, dua menteri kerajaan ultranasionalis berhaluan kanan Israel mengancam untuk meletak jawatan daripada kerajaan dikepalai Benjamin Netanyahu itu jika perjanjian gencatan senjata Gaza disahkan.
Sementara itu, media Israel menerbitkan senarai 33 tebusan untuk dibebaskan bagi peringkat pertama perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.
Penganalisis politik menjangkakan bahawa permulaan gencatan senjata yang dijadualkan pada 19 Januari mungkin tertangguh jika Israel tidak memuktamadkan kelulusan sehingga esok.
Dalam masa sama, serangan genosid ke atas wilayah terkepung Gaza sejak pengumuman perjanjian gencatan senjata Israel-Hamas masih terus berlaku.
Lapor AlJazeera memetik sumber pertahanan awam, angka korban Gaza meningkat kepada 113 orang termasuk 28 kanak-kanak dan 31 wanita manakala lebih 264 mangsa cedera.
Kira-kira 15 kanak-kanak setiap hari di Gaza dilaporkan mengalami kecederaan perang yang akan mengakibatkan mereka mengalami kecacatan yang mengubah hidup, menurut agensi PBB untuk pelarian Palestin.
Sejak 7 Oktober 2023, keganasan Israel di Gaza telah membunuh sekurang-kurangnya 46,788 rakyat Palestin dan mencederakan 110,453 orang.
Di pihak Israel, rejim itu mendakwa sekurang-kurangnya 1,139 terbunuh di negara haram itu semasa serangan pimpinan Hamas manakala lebih 200 telah ditawan.
BACA JUGA Ceramah perkara jijik dan kotor, pendukung Pas bantai Adun Kelantan