Tok Mat beri bayangan sokong keahlian penuh Timor – Leste dalam ASEAN

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan yang lebih dikenali sebagai Tok Mat telah memberi bayangan bahawa Putrajaya akan menyokong keahlian penuh Timor – Leste ke dalam ASEAN.

Berucap di dalam sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN hari ini, beliau berkata Malaysia sebagai pengerusi ASEAN akan menegakkan tema keterangkuman dan kemampanan.

“Kita berharap ia akan dicerminkan di dalam keahlian ASEAN. Asia Tenggara bukan rantau dengan 10 negara. Ada 11 dalam kalangan kita.

“Kesemua kita berhak menyertai organisasi yang memperjuangkan kesejahteraan kita di bahagian dunia ini,” kata beliau merujuk kepada Timor – Leste yang mempunyai status pemerhati di dalam pertubuhan serantau tersebut.

Beliau menambah bahawa ASEAN perlu bergantung kepada kebolehannya untuk menegakkan prinsip dan negara anggota perlu mengubah retorik kepada tindakan.

“Kita berharap negara anggota ambil perhatian. Kita perlu perlu menunjukkan keterangkuman dalam pertubuhan kita jika tidak retorik kita tidak bermakna.

“Kita perlu saling mempercayai dan menyokong satu sama lain,” katanya.

Menteri Luar dan Kerjasama Timor – Leste Bendito dos Santos Freitas turut hadir dalam sesi pemukiman ini sebagai pemerhati.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa masa hadapan ASEAN perlu melibatkan Timor – Leste untuk meningkatkan potensi ekonomi dan visi jangka panjang ASEAN.

Timor – Leste menjadi anggota pemerhati menerusi penyertaan di dalam ASEAN Regional Forum pada 2005 dan memohon keahlian pada 4 Mac 2011.

BACA JUGA: MP Pasir Gudang kata Pas, Bersatu tak layak pimpin Kerajaan Persekutuan

Â