Heboh replika naga dihias bendera China dan Jalur Gemilang: Ini penjelasan polis

Tiga kertas siasatan dibuka selepas satu perarakan kebudayaan Cina yang mempamerkan bendera China dan Jalur Gemilang pada replika naga di Muar.

Perarakan sempena ulang tahun ke-20 gabungan Persatuan-persatuan Tiong Hua di daerah itu heboh diperkatakan di media sosial.

Kontroversi muncul apabila perarakan yang mempersembahkan tarian singa dan replika naga terpanjang di Malaysia di beberapa jalan utama di bandar itu menonjolkan bendera China di sebelah kiri badan replika naga itu.

Menurut Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Raiz Mukhliz Azman Aziz, bendera China dikesan ketika pemantauan polis pada perarakan berlangsung jam 6.10 petang semalam.

Susulan itu, beliau berkata, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar mengambil tindakan proaktif dengan membuka kertas siasatan pada hari sama kejadian dilaporkan.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan; Seksyen 6 (2) Akta Perhimpunan Aman 2021 dan Seksyen 3 (1) Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949,” katanya dalam kenyataan.

Raiz memberitahu bahawa polis telah memanggil pihak penganjur program dan saksi kejadian untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, tegasnya, orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi bagi menjamin keselamatan dan ketenteraman awam.

BACA JUGA Onana muncul ‘trending’ dikecam selepas Manchester United diaibkan

Â