Skandal pelombongan ADUN Sabah: SPRM selesai siasat

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melengkapkan kertas siasatan berhubung skandal penyelewengan dana awam bagi projek pelombongan di Sabah, yang melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Sabah.

Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki, pihaknya telah mengemukakan kertas siasatan tersebut kepada pihak Jabatan Peguam Negara (AGC) dan terpulang kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata, SPRM sudah merakam keterangan 18 ADUN Sabah berhubung kes rasuah perolehan projek mineral di negeri tersebut.

“(Kes ini) melibatkan (dikatakan) ADUN Sabah dan pemberi maklumat (whistleblower).

“Kita buka kertas siasatan pertama, melibatkan whistleblower dengan bekas pegawai kerajaan dari Sabah, berkaitan jabatan mineral di Sabah.

“Pihak SPRM dan PDRM Sabah, kami saling bertukar maklumat dan kes berkenaan telah selesai.

“Bagi kes berkenaan melibatkan dua individu ini, kita telah kemukakan kepada DPP, dan saya faham PDRM sudah kemuka kepada DPP.

“Dan terpulang kepada AGC untuk koordinasi sekiranya ada apa-apa keputusan sama ada dituduh atau tidak,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu Azam berkata, siasatan kedua melibatkan lapan orang ADUN, namun, pihak AGC telah mengembalikan kertas siasatan kepada SPRM, dan mereka akan cuba melengkapkannya pada hujung bulan ini.

“Saya jamin, pada bulan Februari, saya sendiri akan maklumkan perkembangan terbaru,” katanya lagi.

Media sebelum ini melaporkan satu klip audio dan beberapa klip video memaparkan perbualan beberapa ADUN Sabah dengan individu dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di sebuah portal berita tempatan.

Terdapat empat klip video yang mengaitkan empat orang ADUN iaitu ADUN Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, Datuk Rubin Balang (ADUN Kemabong), Datuk Mohd Arsad Bistari (Tempasuk) dan ADUN Tanjung Keramat, Datuk Ir Shahelmey Yahya.

Portal berita itu juga memuat naik empat klip video lagi memaparkan perbualan yang mengaitkan ADUN Membakut, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif, Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan), Datuk Masiung Banah (Kuamut) dan ADUN Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy.

BACA JUGA Tiga laporan polis terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap, ini sebabnya siasatan dibuat