Tindakan MCA bantah larangan jual arak di kawasan Melayu terbesar dikecam

Seorang aktivis politik mengecam tindakan MCA yang membantah peluasan sekatan jualan arak di Manjoi, Perak iaitu kawasan kampung Melayu terbesar di Malaysia.

Liyana Marzuki mempersoal mengapa MCA melenting sedangkan orang bukan Islam di Gugusan Manjoi kurang dari lima peratus yang menurutnya tiada masalah jika larangan penjualan arak dikuatkuasakan.

“Apa masalahnya ahli Majlis Bandar Raya Ipoh (MBI) nak halang penjualan arak? Bukannya yang 5 peratus tak boleh dapat kat tempat lain. Manjoi tu 10 minit je dari pekan Ipoh. Pergi lah ke sana.

“Yang saya menyampah geng MCA ini yang koyak kenapa? Bukan kawasan majoriti Cina pun. Menunggang isu untuk milleage politik anda?,” soalnya dalam satu ulasan di Facebook.

Sebelum itu MCA menyalahkan pimpinan kerajaan negeri Perak khususnya DAP yang didakwa menyembunyikan isu sekatan penjualan arak.

Dalam kenyataan berbahasa Mandarin, Ketua penerangan MCA Perak Chung Kok Heung mendesak agar DAP melindungi hak orang bukan Islam serta memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung sekatan itu.

Katanya sebarang perubahan dasar berkaitan penjualan arak mesti melalui perbincangan telus dan adil serta mempertimbangkan hak semua kumpulan etnik. 

“Kita mesti berwaspada. Manjoi telah melaksanakan larangan alkohol. 

“Adakah kawasan lain akan mengikutinya esok?” soal MCA.

Mengulas lanjut Liyana berkata, MCA ini lah yang semasa kerajaan Perikatan Nasional memerintah 33 bulan, telah mendesak untuk menaikkan cabutan judi.

Kata beliau, dengan hanya dua Ahli Parlimen, mereka berjaya mengawal parti Pas.

“DAP yang kurangkan judi ke 8 kali ketika kerajaan 22 bulan. Di Perak sekarang ok je tiada jualan arak di kawasan Melayu Islam, tiada bangkangan. MCA pula yang berlebih-lebih ni apa pasal?

“Back off la, kalau kawasan majoriti Melayu Islam. Apa masalah anda?,” tegasnya.

Beliau secara sinis berkata, PN dan Pas seperti biasa tidak akan berbunyi dalam isu ini kerana MCA adalah “geng” mereka.

“Tapi sebab dia geng PN dan Pas, seperti biasa, tidak berbunyi lah mereka. Terpaling PEMUDA pun senyap seribu bahasa,” ujarnya.

BACA JUGA Penduduk PPR Kota Bharu tak bayar kos selenggara cecah RM700,000