Tular MP Muar mesra hayun buaian, Bella pula anggap ‘best’

Tular klip video memaparkan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abd. Rahman kelihatan bahagia menghayun buaian yang dinaiki selebriti Bella Astillah.

Menerusi rakaman berdurasi singkat 21 saat itu, Bella dan Syed Saddiq saling berpandangan mesra sejurus bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu menghayun buaian.

Hubungan mesra mereka juga dapat dilihat daripada kapsyen penyanyi dan pelakon berkenaan untuk video tersebut yang dimuat naik di akaun TikTok miliknya.

The best often come late (yang terbaik selalunya datang lewat),” kata ibu tunggal kepada dua cahaya mata itu.

Perkongsian rakaman video itu rata-ratanya menuai komentar positif terutamanya berharap mereka segera bernikah.

“Orang yang secantik dan sebaik Bella bukan untuk disakiti tapi untuk disayangi. Jika tersakiti maka ada yang akan hadir untuk menyayanginya.

“Mantap! Yang terbaik memang selalu sampai lambat tapi penyelamat dan mengakhiri segalanya. Insya-Allah. Jangan tunggu lama-lama, jalan terus,” demikian antara kata-kata semangat daripada warganet yang mendoakan Syed Saddiq, 32 dan Bella, 31, agar lekas bergelar suami isteri.

Sebaliknya, reaksi warganet untuk Syed Saddiq dilihat turut berbaur dengan sindiran termasuk menegur pakaian yang dikenakan pemuda berkenaan.

Tidak kurang juga menganggap bekas Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) itu sudah ‘lupa’ statusnya sebagai wakil rakyat untuk Parlimen Muar.

Namun, ada yang turut menyebelahi Saddiq apabila menyifatkan beliau juga seorang manusia yang punya hati dan perasaan cinta bukannya robot.

“Sabar… nanti kena hayun rotan. Nakal sangat. Audit banjir entah bila nak siapnya, hayun tu ada masa!,” perli pengguna X, @2kosong25.

“Nak perhatian je. Attention seeker,” tempelak @Rainism08.

“Kesian pengundi Muar, nak undi PH tapi dapat…,” sindir @FeisiTangg pula.

Persahabatan Syed Saddiq dan Bella dikatakan sudah ‘makan tahun’ dan kini sering menghabiskan masa bersama serta buat ‘content’ yang dikongsikan dalam media sosial.

Antaranya, klip video Saddiq memakaikan topi keledar untuk Bella, detik Bella mengusik Saddiq serta reaksi spontan Saddiq yang cuak dan segera membantu ketika Bella pura-pura jatuh pengsan.

Bella juga mengubah penampilan Saddiq daripada berimej YB (Yang Berhormat) kepada ‘Syed Oppa’ selain turut memilih sepersalinan sedondon dengan ahli politik itu.

BACA JUGA Tiga laporan polis terhadap Harith Iskander dan Cecelia Yap, ini sebabnya siasatan dibuat