Dr Dzulkefly jamin buat penstrukturan semula kurangkan bebanan kerja doktor
Susulan dapatan mengenai kematian pakar patologi Dr Tay Tien Yaa di Lahad Datu, Sabah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi jaminan akan mengambil tindakan segera berkait isu bebanan kerja doktor.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedar isu tersebut menonjol dalam siasatan kematian doktor pakar itu.
Justeru katanya beliau akan mengambil tindakan segera termasuk penstrukturan semula pegawai dan kakitangan dalam usaha mengurangkan tekanan di tempat kerja.
“Saya sangat insaf dan sedar mengenai tekanan kerja yang ditanggung oleh mendiang, (ini) menjadi utama yang menonjol dalam dapatan siasatan ini.
“Saya sebagai menteri pastinya akan mengambil tindakan khas dalam apa yang disebutkan (menangani isu) sumber tenaga yang terhad,” katanya pada sidang media hari ini.
Menurutnya, laporan jawatankuasa itu sudah dikemukakan kepada keluarga mendiang.
“Saya sangat memahami dan kita semua boleh memahami. Ia pastinya (menjadi) bebanan emosi (kepada keluarga).
“Saya memahami dan sedar sukarnya keluarga untuk menerima dapatan seperti mana yang disebutkan oleh jawatankuasa bebas ini,” katanya.
BACA JUGA Kematian Dr Tay bukan kerana dibuli atau dizalimi
Â