Kematian Dr Tay bukan kerana dibuli atau dizalimi

Kematian pakar perubatan patologi di Hospital Lahad Datu, Sabah, Dr Tay Tien Yaa pada Ogos tahun lalu, tidak disebabkan oleh buli atau kezaliman pegawai atasan.

Pengerusi jawatankuasa khas bebas yang ditubuhkan bagi menyiasat kematian pakar patologi berkenaan, Tan Sri Borhan Dollah berkata dapatan daripada siasatan yang dilaksanakan pasukannya tidak menemui bahawa mangsa dipaksa melaksanakan tugasan di luar skop pekerjaannya.

Dapatan itu juga berdasarkan temubual dengan 19 saksi membabitkan empat ahli keluarga mendiang, 11 kakitangan Hospital Lahad Datu serta empat saksi lain.

“Ada dua aduan dikemukakan keluarga mendiang dan dari situ kita merumuskan ada empat isu dibangkitkan iaitu pertama, mendiang dibebani kerja dan tugasan di luar skop kerjanya.

“Hasil daripada penyiasatan, kita dapati bahawa tugasan yang dilakukan mendiang adalah seperti mana ditetapkan dalam senarai skop tugasan, tidak ada satu pun yang satu-satunya kita dapati di luar skop atau luar bidang tugas beliau.

“Selaku Timbalan Ketua Jabatan 1, mendiang bertanggungjawab menguruskan perolehan dalam isu penjagaan stor dan sebagainya, (berdasarkan) bukti dokumen dan temubual, kita tidak nampak sebarang isu berkaitan bahawa beliau dihubungkan dengan kerja yang terlalu banyak atau di luar skop kerjanya,” katanya pada sidang media.

Siasatan turut mendapati tiada bukti bahawa mendiang dibebani kerja di luar bidang kerja.

Ketiga adalah isu berkaitan dakwaan menyatakan ketua jabatan (Patologi) tidak bertindak sebagai pemimpin dan menindas serta menzalimi mendiang ketika bertugas.

“Kita dapati bahawa berdasarkan kepada siasatan, tidak timbul perkara itu dan mereka bekerja secara profesional, ini dapat dibuktikan daripada temu bual rakan yang lain, pegawai bawahan dan sebagainya,” katanya.

“Hasil dapatan kita, memang tidak ada (dakwaan itu), dapatan daripada Jabatan Sumber Manusia, tidak ada sebarang rayuan seperti mana didakwa,” ulas beliau berkenaan dakwaan mendiang memohon bertugas di Semenanjung Malaysia.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini berkata bahawa pihaknya tidak akan bertoleransi terhadap buli.

BACA JUGA: Suruhanjaya siasatan bebas yang siasat kes Dr Tay peroleh tambahan tiga bulan siasat semua kes buli

Dr Dzul: My zero tolerance against bullying stance remains since 2018

Â