Jijik proses kicap depan tandas, 2 kilang berusia 120 tahun di Pulau Pinang diarah tutup

Dua kilang pemprosesan kicap dan sos cili yang sudah lebih 120 tahun bertapak di Pulau Pinang, diarah tutup selama 14 hari selepas didapati tidak menepati piawaian kebersihan yang ditetapkan.

Menurut Harian Metro, kedua-dua kilang pernah diberi notis penutupan sehingga tujuh kali dalam tempoh 10 tahun sebelum ini.

Ketika pemeriksaan pertama di kilang di Jalan Patani, pihak berkuasa menemui kacang soya diperap di dalam bakul dan diletakkan di atas lantai di hadapan tandas dan bilik air.

Selain itu, lantai premis didapati berlumut dan menjijikkan, manakala najis tikus ditemukan di stor penyimpanan bahan mentah dan rak barangan.

Di rak simpanan sos cili pula ditemukan perangkap tikus, selain persekitaran yang tidak memuaskan.

Sementara itu dalam pemeriksaan kedua di kilang Jalan CY Choy, pihak berkuasa menemukan najis tikus berhampiran rak pemprosesan sos cili.

Didapati pekerja lelaki di kilang itu tidak memakai baju ketika bertugas, malah lokasi perapan kicap dan sos cili juga berada dalam keadaan tidak memuaskan.

Pemilik premis yang enggan dikenali berkata, kicap, sos cili, dan cuka yang diproses secara tradisional itu dipasarkan sekitar Pulau Pinang dan sering dijadikan ole-ole oleh pengunjung.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Mohd Zulhairel Mat Yusoff berkata, persekitaran kedua-dua premis tidak memuaskan, malah pernah beberapa kali diberi notis penutupan atas kesalahan sama.

“Kita dapati bahan mentah di kedua-dua premis juga diletakkan di atas lantai, selain penggunaan bekas gentian bagi perapan yang dikhuatiri reput dan tidak sesuai digunakan,” katanya seperti dilapor.

BACA JUGA Rafizi sekolahkan Adun Kedah, projek KHTP tergendala bukan sebab kerajaan

Â