Rafizi sekolahkan Adun Kedah, projek KHTP tergendala bukan sebab kerajaan
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menempelak ucapan seorang Adun Kedah yang mendakwa Kerajaan Persekutuan telah menekan atau menindas pembangunan “The Greater Kedah”.
Ketika sidang DUN Kedah tahun lalu, ADUN Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah berkata, negeri itu telah begitu lama menunggu kelulusan Notis Perubahan (NoC) dari kementerian ekonomi untuk pembesaran Taman Teknologi Tinggi Kulim (Kulim Hi-Tech Park), tetapi belum diluluskan lagi.
Rafizi dalam respon balasnya hari ini mendedahkan, permasalahan yang timbul adalah berpunca dari kerajaan negeri Kedah sendiri yang sehingga hari ini masih belum menyelesaikan hal pemilikan tanah.
Beliau berkata, kerajaan telah meluluskan RM195 juta kepada Kedah untuk pembangunan Fasa 5 Kulim Hi-Tech Park, namun projek masih tidak berjalan kerana kerajaan negeri gagal dalam urusan pembelian tanah.
Atas sebab itu, peruntukan tidak dapat dilepaskan kepada kerajaan negeri kerana mengikut syarat, hal pemilikan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum peruntukan disalurkan
“Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Ekonomi sebenarnya telah pun meluluskan RM195 juta kepada Kerajaan Kedah.
“Masalahnya setelah diluluskan, projek masih belum boleh berjalan kerana tanah yang dikemukakan semasa permohonan pinjaman itu bermasalah dan pembelian tidak dapat diteruskan.
“Kalau belum ada tanah, projek tidak dapat diteruskan. Memang dalam syarat, mana-mana peruntukan Kerajaan Persekutuan ialah, hal pemilikan tanah perlu diselesaikan terlebih dahulu, sebelum peruntukan diluluskan semula.
“Kerajaan Kedah sekarang mendakwa mereka telah mengenal pasti tanah baru yang perlu dibeli dan menuntut supaya Kementerian Ekonomi meluluskan juga pelepasan peruntukan RM195 juta itu walaupun hal pemilikan tanah belum diselesaikan,” jelasnya dalam satu video penjelasan di Facebook.
Menurut Rafizi, sudah banyak kes dihadapi kerajaan di mana apabila projek sudah diumumkan dan peruntukan telah disediakan, akhirnya projek itu tergendala kerana isu pemilikan tanah yang masih tertunggak.
Sedangkan kata beliau, Kerajaan Persekutuan perlu meminjam wang untuk menyediakan RM195 juta itu dan membayar faedah pinjaman.
Jika projek tergendala, rakyat Malaysia perlu menanggung faedah pinjaman selama mana kerajaan Kedah tidak dapat menyiapkan projek itu.
“Kita semua sedia maklum rekod pentadbiran Kerajaan Kedah sekarang bila projek tak jadi, dia akan kata saya tukang baca je ataupun itu projek swasta bukan projek saya.
“Lain kali sebelum seru nama saya untuk kandungan TikTok, semaklah dulu keseluruhan fakta isu itu,” jelasnya panjang.
BACA JUGA Ketahui apa PMX akan ucap di Switzerland malam ini
Â