Musibah untuk Malaysia sekiranya PN memerintah

Malaysia akan berdepan musibah dan bencana sekiranya Perikatan Nasional membentuk kerajaan kerana pakatan tersebut mempunyai masalah dalaman dan tidak mempunyai dasar yang jelas.

Pengarah eksekutif Ilham Centre Hisomuddin Bakar berkata himpunan solidariti bersama Najib Razak oleh Pas membuktikan penganjuran tersebut tidak diputuskan secara bersama dalam mesyuarat tertinggi PN.

Pelantikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai penasihat SG4 oleh Pas dan ketiadaankesepakatan dalam penentuan calon perdana menteri untuk pilhan raya umum akan dating merupakan antara contoh jelas.

“Sebenarnya PN menghadapi masalah dalaman yang akan menguji kelangsungan hubungan dua parti utama iaitu PAS dan Bersatu,” katanya kepada FMT.

Hisomuddin mengulas amaran Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim bahawa ‘amat bahaya’ sekiranya pemimpin semasa PN mentadbir semula negara.

Ia susulan tindakan PN yang menurut Hassan ‘membunuh demokrasi’ ketika wabak Covid-19, menarik perhatian kepada tindakan menggantung Parlimen.

Hisomuddin turut menambah bahawa PN gagal memanfaatkan sokongan yang diraih pada PRU 2022. Ketika itu sebahagian besar undi orang Melayu beralih ke PN, termasuk undi protes oleh penyokong Umno yang hampa.

“PN menerima manfaat dari pengundi Melayu dan anak muda Melayu tetapi tiada dasar yang konstruktif dan substantif yang diperjuangkan.”

Kelekaan dalam menguruskan undi yang diraih akan memberi kesan kepada PN, yang kelihatan selesa dalam anggapan bahawa pengundi akan menterjemahkan perasaan tidak puas hati kepada undi buat PN.

“Mereka terlalu selesa dengan kemenangan,” katanya.

Lau Zhe Wei daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia percaya pertukaran kepimpinan akan menjadi sia-sia kerana pilihan PN terhad iaitu presiden Bersatu Muhyiddin Yassin atau timbalannya, Hamzah Zainudin, atau Presiden PAS Hadi Awang atau naib beliau, Ahmad Samsuri Mokhtar.

Azmi Hassan daripada Akademi Nusantara berkata PN memikul beban pemimpinnya yang sekarang, malah dilihat tidak dapat mengurus negeri-negeri yang ditadbirnya dengan cukup baik.

“Ini bukan tentang usia parti, tetapi bagaimana mereka urus pengundi,” katanya.

BACA JUGA: Tular MP Muar mesra hayun buaian, Bella pula anggap ‘best’