Sindiket vape di KLIA ‘bungkus’, enam pegawai kastam rupanya jadi dalang

Enam pegawai kastam dan enam pengarah syarikat ditahan kerana terlibat dalam sindiket penyeludupan vape (rokok elektronik) di Pusat Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Kesemua mereka dan dua lagi orang awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sekitar KLIA dan ibu negara petang semalam dalam operasi yang dinamakan Op Airways.

Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 20 hingga 60-an yang telah ditahan adalah hasil intipan Bahagian Perisikan SPRM selama tiga bulan.

Antara rampasan dalam Op Airways yang menyaksikan 14 individu termasuk enam pegawai kastam ditahan.

Dilaporkan, SPRM telah menahan dua lori yang keluar dari pusat pemeriksaan kargo KLIA dan serentak itu serbuan secara besar-besaran dilakukan di dua gudang penyimpanan syarikat tersebut.

Sebanyak 32,000 vape yang dianggarkan cukai bernilai RM1.9 juta ditemui di dalam lori yang ditahan hasil pemeriksaan bersama Bahagian Penguatkuasaan, Ibu Pejabat Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Hasil serbuan di salah sebuah gudang pula telah menemui sebanyak 90,000 unit vape yang dianggarkan cukai bernilai RM5.4 juta yang tidak dibayar pada kastam.

Lapor Kosmo! memetik sumber, di sebuah gudang lagi, SPRM turut menemui berpuluh ribu unit vape yang melibatkan jutaan ringgit yang tidak dibayar cukai pada kastam.

“Setakat ini, hasil serbuan mendapati negara kehilangaan hasil kutipan cukai kira-kira RM8 juta, di mana kandungannya juga dikhuatiri membahayakan kesihatan pengguna,” kata sumber terbabit.

BACA JUGA Ebit Lew menang saman, wanita Indonesia diperintah bayar RM20,000