Isu sarkastik ‘Ham Sap Kopi’: Ini penegasan Jakim

Selebriti Harith Iskander akan dipanggil Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bagi mendapatkan penjelasan berhubung hantaran sarkastik dalam media sosialnya yang membuka ruang mempersendakan agama Islam.

Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Dr. Sirajuddin Suhaimee, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara seumpama itu apabila turut membuat laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan lanjut selepas isu tersebut mengundang keresahan ramai.

Dalam masa sama, beliau meminta semua pihak bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Jakim tidak akan sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan yang mempersendakan ajaran Islam serta menyinggung sensitiviti.

“Diharapkan semua pihak dapat mengamalkan sifat hormat dan bertoleransi dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Harith Iskander

Pada 19 Januari lalu, Harith berkongsikan menu kedai kopi dengan item bernama ‘Ham Sap Kopi’ sekaligus mengundang kutukan orang ramai.

Pelawak berusia 54 tahun berkenaan dianggap secara sarkastik menyentuh isu ‘ham’ membabitkan kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di Universiti Malaya (UM).

“Saya sangat keliru. Iman saya tergugat. Kopi ini akan membawa saya ke jalan yang salah dalam pelbagai cara.

“Bukan sahaja menggoda saya untuk menjadi ‘hamsap’ tetapi juga membuat saya keliru dengan perkataan ‘ham’ dalamnya. Ini untuk minum atau makan?

“Saya perlu buat laporan polis kerana saya lemah dan hilang kemampuan menggunakan logik. Siapa lagi yang keliru,” tulisnya.

Mengulas lanjut, Sirajuddin mengingatkan bahawa kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan negara harus dihormati semua pihak.

“Ini bukanlah alasan untuk masyarakat tidak menjalani kehidupan yang harmoni dalam situasi masyarakat berbilang kaum dan agama,” ujarnya.

Tambahnya, Jakim turut bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyekat akaun dan menurunkan kandungan berkenaan.

BACA JUGA Bila kerajaan 32-0 mentadbir negeri…