Kontrak projek mega Quran Village RM78.38 juta di Putrajaya, MB Terengganu ucap tahniah

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan tahniah kepada anak syarikat Terengganu Incorporated, GPQ Sdn. Bhd yang memenangi kontrak mega pembangunan Quran Village bernilai RM78.38 juta di Putrajaya.

Pemimpin Pas itu berharap projek membina masjid kariah dan pelbagai infrastruktur lain di kawasan seluas 2.83 hektar di Presint 14 itu memajukan GPQ sebagai kontraktor berpotensi di Malaysia.

“Moga pelaksanaan projek ini bakal memperkukuhkan lagi kehadiran anak syarikat Kerajaan Negeri untuk menembusi pasaran luar Terengganu sekali gus mencetus hala tuju baru GPQ sebagai kontraktor berpotensi di Malaysia, insya-Allah,” katanya di platform X.

Ahmad Samsuri Mokhtar

Menerusi kenyataan GPQ kelmarin, Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn. Bhd., Noor Mohd. Suhaimie Ismail berkata, Quran Village adalah projek yang dimiliki oleh Perbadanan Putrajaya yang bakal menjadi satu lagi tarikan baharu di kawasan itu apabila siap kelak.

Jelas anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu itu, pelaksanaan projek tersebut adalah salah satu inisiatif penting GPQ dalam memperkukuh kehadirannya di Lembah Klang dan langkah strategik untuk menembusi pasaran di luar Terengganu.

“Projek pembinaan mengambil masa 36 bulan untuk pembangunan secara berperingkat dan dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2027” katanya dalam kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Isu sarkastik ‘Ham Sap Kopi’: Ini penegasan Jakim