Usah boikot Pasar Tani Chukai, peniaga belasah OKU bukan usahawan FAMA

Orang ramai diharap tidak memboikot Pasar Tani Chukai yang kebetulan terletak berdekatan lokasi lelaki orang kelainan upaya (OKU) mental dibelasah pada minggu lalu.

Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) memaklumkan insiden sebenarnya berlaku di pasar pagi yang juga terletak di Padang Astaka, Chukai, Kemaman dengan waktu operasi sama iaitu 7 pagi hingga 12 tengah hari setiap Jumaat.

Pengarah FAMA Terengganu, Muhammad Fadlee Hassan berkata, walaupun pasar pagi itu turut dipanggil pasar tani, tetapi ia dikendalikan persatuan penjaja setempat manakala Pasar Tani Chukai pula kelolaan FAMA.

“Saya juga ingin mengesahkan peniaga terlibat juga bukan usahawan FAMA dan tidak terlibat dalam mana-mana pasar tani kelolaan agensi kami,” katanya, dipetik Kosmo!

Susulan tindakan tidak berperikemanusiaan membelasah seorang lelaki OKU mental selepas dikatakan melanggar sebuah gerai makanan panas pada 17 Januari lalu, orang ramai bersolidariti melancarkan boikot terhadap perniagaan Pasar Tani Padang Astaka, Chukai.

Mengulas lanjut, Fadlee bimbang salah faham itu boleh menjejaskan perniagaan lebih 55 usahawan FAMA yang mencari rezeki di Pasar Tani Chukai.

Menurutnya, usahawan FAMA yang berniaga di pasar-pasar tani tertakluk kepada peratutan ketat yang amat menjaga kepentingan dan keselamatan pelanggan.

BACA JUGA Bila kerajaan 32-0 mentadbir negeri…