Adun kerajaan minta jangan sekat Himpunan Rakyat Benci Rasuah

Seorang wakil rakyat kerajaan meminta agar semua pihak memberi sokongan terbuka kepada mahasiswa yang menganjurkan Himpunan Rakyat Benci Rasuah kerana berani menyuarakan pendirian mereka menentang perbuatan tidak bermoral itu.

Adun Rawang, Chua Wei Kiat berkata, keberanian mahasiswa untuk bersuara secara lantang dalam isu-isu nasional harus diraikan dan bukannya disekat, kerana ia sebahagian daripada semangat reformasi yang diperjuangkan kerajaan.

Malah beliau melihat bahawa himpunan itu selari dengan dasar pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berusaha menentang rasuah.

“Matlamat himpunan ini selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI dalam memperkukuhkan integriti, ketelusan dan tadbir urus yang bersih.

“Oleh itu, semua pihak harus menunjukkan sokongan terbuka kepada mahasiswa yang berani menyuarakan pendirian mereka menentang rasuah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chua yang juga Timbalan Ketua Penerangan PKR turut menyarankan agar pihak berkuasa memberi kerjasama penuh kepada mahasiswa dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan perhimpunan itu berlangsung dengan aman serta teratur.

Ini kata beliau adalah peluang untuk membuktikan kesungguhan dalam melawan rasuah dengan tindakan konkrit yang selari dengan aspirasi rakyat.

“Himpunan ini diadakan atas dasar perjuangan menentang rasuah, satu isu yang menjadi keutamaan pentadbiran Datuk Seri Anwar.

“Justeru, pihak berkuasa tidak seharusnya melihatnya sebagai ancaman, tetapi sebagai sokongan moral kepada agenda reformasi yang sedang dijalankan,” ujarnya.

Dalam pada itu beliau berkata, ruang dialog dan kerjasama dengan mahasiswa dan NGO perlu digalakkan dan diperluas agar mesej anti-rasuah dapat diperjuangkan secara lebih berkesan dan inklusif.

BACA JUGA Fahmi Reza sindir Pas tak tahu malu turun Himpunan Rakyat Benci Rasuah

Â