Berapa jumlah terkini dana 1MDB berjaya dipulangkan kepada Kerajaan Malaysia?
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya memperoleh semula wang termasuk aset yang berjumlah lebih RM90 juta hasil pemulihan aset dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang diselewengkan.
Kejayaan itu adalah hasil kerjasama antara SPRM Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).
SPRM berkata dana tersebut diperoleh dari projek tenaga solar di Malaysia dan melibatkan Frank White Jr, seorang ahli perniagaan serta rakan kongsi dalam firma pelaburan DuSable Capital Management LLC.
“White Jr secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan.
“SPRM dan Kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB,” katanya semalam.
Secara keseluruhan dari tahun 2019 sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion aset dan 1MDB berjaya dipulangkan semula kepada Kerajaan Malaysia, tidak termasuk AS$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.
Selain itu, SPRM sedang giat mengejar pemulihan aset tambahan berkaitan 1MDB melibatkan beberapa bidang kuasa, termasuk Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa negara Eropah.
BACA JUGA Cerita skandal baja padi RM1.8 bilion semasa Nafas di bawah PN
Â