Syarikat, pengarah didakwa guna logo halal palsu

Syarikat Shake and Bake Cafe Sdn Bhd dan pengarahnya Ewe Sarn Yeun, 65, telah didakwa dengan 12 tuduhan menggunakan logo halal palsu.

Mengikut enam pertuduhan, tertuduh didapati menawarkan untuk membekalkan 366 produk makanan sandwic membabitkan enam perisa yang diperihalkan dengan menggunakan logo halal Malaysia untuk menunjukkan makanan itu boleh dimakan orang Islam dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.

Ia membabitkan 50 Mixed Tuna Sandwic; 43 Mixed Potato Sandwic; 77 Mixed Chicken Sandwic; 74 Egg Mayo Sandwic; 66 Ham & Cheese Sandwic dan 56 Chili Crabstick Sandwic.

Kesalahan tersebut dilakukan di Sunway Damansara pada 10 Januari.

Syarikat Shake and Bake Cafe pula yang diwakili Ewe selaku pengarah juga tidak mengaku bersalah atas enam pertuduhan sama di lokasi, tarikh dan waktu sama mengikut Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang berdepan denda maksimum RM200,000, manakala bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Ewe yang juga berstatus Pemastautin Tetap (PR) Amerika Syarikat dan syarikatnya tidak mengaku bersalah masing-masing didakwa satu pertuduhan menggunakan cap dagangan berdaftar iaitu logo halal Malaysia yang salah pada 366 bungkusan sandwic terbabit di lokasi, tarikh dan waktu yang sama.

Oleh itu, Ewe dan Shake and Bake Cafe didakwa mengikut Seksyen 100 Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815) dan dengan itu melakukan kesalahan di bawah Seksyen 102(1)(c) akta sama yang boleh dihukum Seksyen 102(1)(i) dan Seksyen 102(1)(ii) akta sama bagi pengarahnya.

Bagi Seksyen 102 (1)(i), akta berkenaan memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000, manakala Seksyen 102 (1)(ii) akta itu memperuntukkan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barang yang dipakaikan cap dagang berdaftar itu secara salah, atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

BACA JUGA: Buku ‘Becoming Hannah’: Polis masih tunggu arahan AGC

Â