AMANAH terima usul pindaan akta bagi lantik Ahli Majlis Kuala Lumpur

Parti Amanah Negara (AMANAH) menerima usul dikemukakan AMANAH Wilayah Persekutuan berhubung gesaan meminda Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 atau Akta 190 untuk pelantikan Ahli Majlis Kuala Lumpur.

Keputusan itu diumumkan selepas meraih sokongan majoriti perwakilan yang menghadiri Konvensyen Nasional 2024 Parti Amanah Negara (AMANAH), hari ini.

Terdahulu, AMANAH Wilayah Persekutuan dalam usulnya menyatakan hanya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sahaja yang tidak mempunyai Ahli Majlis berbeza Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri-negeri lain yang tertakluk di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Menurutnya, Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan tidak dibantu oleh Ahli Majlis dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) seperti wakil rakyat kawasan lain.

Bebanan di atas bahu Ahli Parlimen Wilayah Persekutuan, jelasnya, adalah jauh lebih berat berbanding Ahli Parlimen lain yang tidak dibebankan dengan urusan pemantauan urusan PBT.

Sehubungan itu, AMANAH Wilayah Persekutuan menyarankan pindaan kepada Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 dengan memasukkan peruntukan-peruntukan tentang penubuhan satu Majlis Bandaraya Kuala Lumpur (Council) dan pelantikan Ahli Majlis (Councillor).

Turut dicadangkan adalah undang-undang tubuh serta peraturan-peraturan yang berkaitan, bilangan serta tempoh pelantikan Ahli Majlis bagi setiap kawasan Parlimen di
Kuala Lumpur serta fungsi serta bidang kuasa Ahli Majlis dan kedudukan mereka dalam struktur pentadbiran di Wilayah Persekutuan.

Ibrohim Mazalan

Membahaskan usul tersebut, perwakilan Pahang, Muhammad Ibrohim Mazalan memberitahu bahawa AMANAH di negeri itu mempunyai Ahli Majlis berkat perjanjian persefahaman Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN).

“Penduduk seluruh Wilayah Persekutuan sahaja hampir 10 juta orang. Penduduk Pahang 1.5 juta mempunyai 14 PBT dengan 20 orang Ahli Majlis di setiap PBT.

“DBKL punya wewenang yang besar jika tidak kuasa penuh dalam menentukan keputusan atau dekri mereka seolah-olah pegawai dan pengarah jabatan DBKL ini mempunyai kuasa seperti Exco Negeri.

“Apa jaminan mereka akan seiring dengan agenda dan dasar Kerajaan? Di mana semak imbang dalam proses membentuk keputusan di peringkat PBT?

“Sebab itu sekarang kita lihat pelbagai isu sensasi yang tular tetapi seringkali lambat ditangani sehingga menimbulkan persepsi negatif dalam kalangan pengundi,” tegasnya semasa perbahasan usul hari ini.

Sehubungan itu, Ibrohim yang juga Setiausaha AMANAH Pahang berpendapat undi penduduk Wilayah Persekutuan penting kerana ia akan mencipta trend yang akan mempengaruhi pengundi luar bandar.

“Anak kota yang pulang akan bercerita tentang hal-hal ini kepada ibu bapa serta saudara-mara di kampung-kampung,” katanya lagi.

BACA JUGA Cadangan tiada PRK kekosongan luar jangka: Ini pendirian AMANAH

Â