Cadangan tiada PRK kekosongan luar jangka: Ini pendirian AMANAH
AMANAH menolak usul dikemukakan sayap wanita parti itu berhubung cadangan meminda Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan agar tidak diadakan Pilihan Raya Kecil (PRK) disebabkan kekosongan luar jangka kematian.
Majoriti perwakilan yang menghadiri Konvensyen Nasional AMANAH 2024, hari ini membantah usul tersebut termasuk Presiden, Datuk Seri Mohamad Sabu dan timbalannya Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.
Usul tersebut diketengahkan oleh Setiausaha Organisasi Angkatan Wanita AMANAH (AWAN) Nasional, Anis Afida Mohd Azli yang menekankan tentang perbelanjaan tinggi bagi mengadakan pilihan raya itu.

Menurut Anis, lebih RM66 juta dibelanjakan sejak PRK pertama diadakan pada 1999 hingga Mei 2016 dengan secara purata RM1 juta dibelanjakan untuk satu pilihan raya, mengikut data yang dikongsikan oleh seorang pakar Perlembagaan sebelum ini.
Beliau menambah selain kos perbelanjaan yang dikeluarkan oleh negara, parti dan pengundi di kawasan berkenaan juga perlu mengeluarkan kos sendiri.
“Perkara ini perlu diperhalusi kerana akan membebankan negara dengan kos yang bakal ditanggung sekiranya berlaku kekosongan luar jangka pada masa depan,” katanya membentangkan usul tersebut.

Sehubungan itu, Anis berkata, AWAN Nasional menggesa kerajaan meminda Perkara 54 (1) Perlembagaan Persekutuan, agar pilihan raya kecil tidak perlu diadakan untuk mengisi kekosongan luar jangka di Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri (DUN) disebabkan oleh kematian penyandang.
“Pindaan tersebut perlu membenarkan kekosongan kerusi penyandang dinamakan penggantinya daripada parti yang memenangi kerusi tersebut.
“Hal ini dapat menjimatkan perbelanjaan negara serta semua pihak terbabit,” kata Anis lagi.
BACA JUGA Tak boleh larang orang yang boleh minum arak, kata Kor Ming