Apa masalah orang di negeri Pas dengan OKU?
Selepas negara dikejutkan dengan kejadian menyayat hati seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) dibelasah di pasar pada pagi Jumaat, heboh pula kes telefon bimbit pembantu kedai runcit OKU dicuri.
Jenayah yang berlaku di sebuah kedai di Rhu Rendang, Marang itu dirakam menerusi kamera litar tertutup (CCTV) pada 21 Januari lalu.
Orang ramai meluahkan rasa marah melihat tindakan lelaki melarikan telefon bimbit milik mangsa yang diletakkan di kaunter kedai runcit tempat OKU itu bekerja.
Namun, pemuda berusia 29 tahun itu telah ditahan polis di sebuah rumah di Kuala Terengganu pada 22 Januari lepas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan.
Menurut Ketua Polis Daerah Marang, Superintendan Mohd Sofian Redzuan, suspek ditahan sepasukan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang dan IPD Kuala Terengganu jam 6.15 petang hasil maklumat dan siasatan dijalankan.
Beliau berkata, suspek mulanya datang ke kedai tersebut untuk membeli rokok dan kemudiannya kembali 15 minit kemudian untuk bertanya mengenai tambah nilai prabayar telefon.
“Namun, selepas dimaklumkan mangsa yang juga OKU kategori fizikal bahawa perkhidmatan itu tiada, suspek mengambil telefon bimbit diletakkan atas kaunter sebelum melarikan diri dengan menunggang sebuah motosikal,” katanya, lapor BH.
Sofian berkata, hasil semakan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan mencuri dan penyalahgunaan dadah sejak 2017.
Tempoh reman suspek selama empat hari yang bermula hari ini disambung hingga Rabu depan bagi melengkapkan siasatan.
BACA JUGA Selepas lebih seminggu dibelasah, ini status laporan perubatan lelaki OKU
Â