Isu premis jual arak: Apa kata Nga Kor Ming?
Tidak boleh melarang individu yang boleh minum arak kerana itu merupakan hak mereka yang perlu dihormati, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kepayang itu berkata, perniagaan syarikat arak mempunyai lesen dan operasi mereka tidak menyalahi di sisi undang-undang.
“Apabila (ada) premis jual arak, yang tak boleh (haram) minum jangan belilah.
“Tetapi kita tak boleh larang orang yang boleh minum.
“Itu hak dia sebab itu (kita perlu) hormat-menghormati,” katanya, dipetik BH hari ini.

Sehubungan itu, wakil rakyat DAP berkenaan mengingatkan hal berkaitan penjualan arak tidak harus menjadi isu terutamanya menjelang Tahun Baharu Cina.
Sebelum ini, Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dilapor akan memperluas pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di premis yang berada dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti telah dilakukan di Gugusan Manjoi.
Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin dipetik berkata, mesyuarat di peringkat MBI telah meluluskan dasar untuk membuat kajian jika terdapat tuntutan penduduk majoriti Muslim sebelum larangan penjualan minuman keras dikuatkuasakan.
Mengulas lanjut, Kor Ming yang ditemui media hari ini selepas menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Pasar Pasir Pinji dan lawatan di Pasar Taman Canning di Ipoh, menyarankan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada berhubung jualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan seliaan masing-masing.
“Syarikat (arak) pun syarikat tersenarai awam. Dia juga bayar cukai untuk kita bangunkan negara. Jadi, kita harus adil kepada semua,” katanya.
Jelasnya, PBT akan meneliti dan menilai permintaan komuniti setempat jika terdapat permintaan untuk menyekat jualan arak di sesuatu kawasan.
Tambahnya, semua pihak tidak harus membazirkan masa sehingga hilang tumpuan dengan isu remeh.
“Mengapa kita nak bazir masa? Jangan jadikan perkara ini sebagai isu, sebab itu saya sentiasa nasihat kita jangan hilang fokus dengan isu remeh yang tidak membina.
“Apabila kita terjerumus dalam pelbagai isu polemik, ia tidak membantu siapa pun, dia merugikan semua pihak,” kata Kor Ming lagi.
BACA JUGA Perasuah mana yang dibebas zaman kerajaan Madani?
Â