Pendidikan nilai selaras dengan hasrat Malaysia Madani
AMANAH komited untuk memperjuangkan pendidikan nilai sebagai agenda utama dalam pembangunan negara.
Pengerusi Biro Pendidikan Dan Perubahan Masyarakat AMANAH, Azli Yusof berkata, pendidikan nilai perlu menerapkan nilai teras parti, iaitu rahmah, amanah, hikmah, muafakat, adil, dan hormat.

“Nilai-nilai ini menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat yang berintegriti dan harmoni.
“Rahmah menekankan belas kasihan, amanah menggalakkan kepercayaan dan tanggungjawab, hikmah menyanjung kebijaksanaan, muafakat menekankan semangat kesepakatan, adil menegakkan keadilan, manakala hormat mengukuhkan hubungan sosial yang baik,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Shah Alam mencadangkan agar Kementerian Pendidikan memberi keutamaan kepada pendidikan nilai dan pembinaan tamadun dalam silibus sekolah rendah.
Hal ini, jelasnya, bertujuan untuk mendidik murid tentang pentingnya adab, integriti, dan tanggungjawab sosial sebagai asas pembentukan masyarakat yang bertamadun.
“Silibus “Tata Rakyat”, yang pernah diperkenalkan dalam sistem pendidikan terdahulu, perlu dihidupkan semula dan disesuaikan dengan keperluan masa kini.
“Pendekatan ini berkesan dalam mendidik murid tentang nilai hormat-menghormati, semangat bermasyarakat, perpaduan dan cintakan negara,” katanya mengulas Pidato Presiden AMANAH sempena Konvensyen Nasional 2024.
Menurut Azli, pendidikan nilai yang terancang boleh menjadi langkah pencegahan berkesan untuk menangani isu semasa seperti buli, keganasan, dan sikap tidak hormat yang semakin kerap berlaku di sekolah dan komuniti.
“Usaha ini selaras dengan visi Malaysia Madani yang menekankan pembangunan masyarakat yang inklusif, berdaya tahan, dan harmoni.
“Pendidikan nilai menjadi asas kepada pembentukan generasi masa depan yang bukan sahaja cemerlang secara akademik tetapi juga memiliki moral yang tinggi,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Cadangan tiada PRK kekosongan luar jangka: Ini pendirian AMANAH
Â