Berbeza pandangan itu lumrah tapi jangan sampai jadi punca berpecah

Berakhirnya Konvensyen Nasional 2024 semalam, Presiden AMANAH menegaskan bahawa perbezaan pandangan adalah lumrah dalam mana-mana organisasi, lebih-lebih lagi dalam sebuah parti politik.

Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, dalam meraikan perbezaan ini, semua pihak dinasihati untuk tidak sesekali membiarkan ia menjadi punca kepada perpecahan.

“Perbezaan ini bukanlah sesuatu yang perlu ditakuti, sebaliknya ia perlu diraikan.

“Namun, dalam meraikan perbezaan ini, kita jangan sesekali membiarkan ia menjadi punca kepada perpecahan. Keutuhan parti kita adalah asas kepada kejayaan kita bersama,” katanya mengulas konvensyen dua hari itu.

Menuju Pilihan Raya Umum yang akan datang, Mohamad menyeru semua ahli untuk bekerja keras dari sekarang memastikan sokongan akar umbi kepada parti terus kukuh.

Ujarnya, setiap ahli memainkan peranan penting dalam memastikan AMANAH terus relevan dan diterima oleh rakyat.

“Bang Mat yakin Kerajaan Perpaduan ini akan kekal untuk penggal yang akan datang.

“Ini hanya akan menjadi kenyataan jika kita semua bekerja sebagai satu pasukan, bersama-sama mendukung semangat perpaduan dan mengutamakan kepentingan rakyat,” katanya lagi.

BACA JUGA Apa masalah orang di negeri Pas dengan OKU?

Â